Pages

Sunday, November 21, 2010

ROP jejas bayi pramatang

Retinopati Pramatang (ROP) boleh terjadi pada bayi yang lahir tidak cukup bulan dengan berat badan kurang daripada 1,500 gram. Upaya penglihatan bayi perlu diselamatkan sebelum keadaan bertambah buruk.



ANCAMAN ROP perlu diberi perhatian demi mengelakkan risiko terhadap upaya penglihatan bayi pramatang.



IBU muda, Azizah Kamal (bukan nama sebenar) yang melahirkan anak pramatang seminggu lalu semakin resah walaupun dikhabarkan doktor bayinya itu sihat. 

Resah Azizah semakin menjadi apabila rawatan susulan yang dijalankan oleh seorang doktor mata pada bayinya itu mendapati ada yang tidak kena dengan deria penglihatan anak keduanya itu. 

"Memang ramai yang tidak menyedari bayi pramatang berisiko tinggi menghadapi masalah penglihatan disebabkan beberapa faktor," ujar pakar mata kanak-kanak Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr. Rozita Ahmad. 

Menurutnya, kebarangkalian bayi pramatang mengalami Retinopati Pramatang (ROP) sering terlepas pandang daripada pengetahuan ibu bapa. 

ROP adalah keadaan normal yang terjadi pada bayi pramatang terutamanya berat badan kurang daripada 1,500 gram dan ia mengganggu perkembangan saluran darah pada retina dalam mata yang akhirnya menjadikan mangsanya buta sekiranya tidak mendapat rawatan awal. 

Secara asasnya, retina mata yang terletak di dalam bulatan tengah mata dibahagikan kepada tiga zon utama dan di sinilah berkumpulnya saraf darah bagi membekal oksigen kepada bahagian lain mata. 

Antara tanda awal yang boleh dikesan ialah kewujudan garisan jelas di antara retina vaskular dan avaskular yang disebabkan beberapa faktor. 

"Kebanyakan bayi pramatang menerima terapi oksigen. Proses ini kadangkala menekan bahagian dalam mata bayi," jelasnya. 

Seterusnya, keadaan menekan daripada oksigen tersebut menghasilkan toksin yang akhirnya menyebabkan saluran darah ke anak mata menjadi abnormal.
DR. ROZITA AHMAD


"Abnormal di sini bermaksud tiada saluran darah yang sampai ke bahagian hadapan mata dan 'kekosongan' ini dipenuhi toksik oksigen," ujarnya.

Tambahnya lagi, ROP ini sebenarnya terbahagi kepada beberapa peringkat dan risikonya bergantung kepada keadaan yang berlaku pada zon-zon tertentu di dalam mata. 

Bukan sekadar itu, dalam keadaan tertentu, ROP akan menjadi lebih teruk sekiranya saluran darah di belakang retina kembang atau berbelit-belit. 

Memandangkan tiada simptom khusus bagi ROP, cara paling mudah ialah menjalani pemeriksaan berkala bagi setiap bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan. 

"Dengan penggunaan alatan khas, pemeriksaan akan dilakukan pada minggu keempat hingga enam bulan kelahiran, terutama bayi yang beratnya kurang daripada 1,500 gram," katanya. 

Rozita turut menjelaskan ROP peringkat pertama adalah situasi yang paling berisiko dan rawatan krioterapi diperlukan. 

"Dengan rawatan ini, bahagian bermasalah akan 'dibekukan' agar bahagian bertoksik dipulihkan dan salur darah itu dapat berkembang semula dengan sempurna," jelasnya.



SALUR darah abnormal terbentuk dan merebak ke bahagian retina, iaitu tisu yang membahagikan bahagian belakang mata. Ia juga mudah pecah atau bocor.



Di samping itu, rawatan terapi laser juga digunakan. Kaedah ini lebih praktikal termasuk mampu mengurangkan ketidakselesaan yang dihadapi oleh bayi selepas rawatan. 

Dalam pada itu, beberapa komplikasi bakal timbul pada bayi apabila mereka meningkat dewasa walaupun ROP yang dihadapinya hanya di peringkat 1. 

"Rabun, juling, arnblyopia dan tekanan dalam mata (glaukoma) adalah keadaan biasa terjadi bagi pesakit ini," ujar Rozita. 

Malah pesakit ROP perlu menjalani pemeriksaan susulan apabila mencecah usia lima atau enam tahun bagi memastikan keadaan saraf darah dalam mata berkembang dengan sempurna. 

"Malah ada antara mereka yang perlu mendapatkan rawatan sepanjang hayat bagi memastikan penglihatan mereka berada pada tahap yang terbaik," katanya.

--- KOSMO

Elak infeksi meningitis

Kegagalan mendapatkan suntikan atau rawatan boleh mengakibatkan kecacatan kekal seperti terencat akal, epilepsi, buta dan pekak.


VAKSINASI berupaya melindungi kanak-kanak di bawah usia lima tahun daripada dijangkiti meningitis.



SUNTIKAN vaksinasi di kalangan kanak-kanak di Malaysia dan kebanyakan negara lain di dunia adalah langkah standard untuk menghindarkan mereka daripada jangkitan penyakit seperti polio, campak, batuk kering, hepatitis dan batuk kokol.

Banyak juga laporan yang kita baca dan dengar mengenai kanak-kanak yang mengalami kecacatan kekal seperti terencat akal, palsi serebral, epilepsi, buta dan pekak. Semua ini terjadi hanya kerana mereka tidak mendapat suntikan atau rawatan kerana simptom tertentu yang dialami mereka tidak dipandang serius.

Begitu juga dengan ancaman meningitis. Ia merupakan masalah radang pada membran dan cecair serebrospina yang meliputi bahagian luar otak dan saraf tunjang. Ia berlaku akibat perebakan jangkitan.

Pada masa lalu, kebanyakan kes meningitis sering berlaku di kalangan kanak-kanak yang berusia di bawah lima tahun. Namun, kerana perlindungan vaksinasi kanak-kanak, kebanyakan kes meningitis pada hari ini berlaku di kalangan mereka yang dalam lingkungan umur 15 hingga 24 tahun. Orang dewasa juga tidak dinafikan cenderung untuk menghidap meningitis.


Penyakit meningitis disebabkan oleh beberapa kuman seperti Haemophilus influenzaeb, Streptococcus pneumoniae, virus-virus seperti virus beguk, campak dan lain-lain, penyakit tibi (tuberkulosis), dan banyak lagi. Kuman yang kerap menyebabkan meningitis ialah Haemophilus influnzae b (Hib) diikuti oleh S. pneumoniae (atau pneumokokal).

Vaksin Hib diwajibkan Kementerian Kesihatan Malaysia sejak tahun 2002, dan BCG (untuk penyakit tuberkulosis) telah lama diwajibkan untuk semua bayi semasa baru lahir. 

Vaksin untuk pneumokokus pula, kerana disebabkan kosnya yang tinggi, tidak diwajibkan di negara ini namun masih boleh didapatkan di klinik dan hospital swasta.

Punca bagi kebanyakan kes meningitis adalah jangkitan virus, namun bakteria dan kulat juga mampu mengakibatkan masalah yang sama. Meningitis juga boleh disebabkan oleh organisma lain dan juga beberapa jenis ubat, tetapi dalam kebarangkalian yang kecil. 

Tahap keseriusan radang dan kaedah rawatan yang terbaik sebenarnya bergantung kepada penyebab jangkitan tersebut. Meningitis bakteria lazimnya lebih serius daripada meningitis virus. Rawatan segera amat diperlukan, kerana jika seseorang memandang ringan akan masalah ini, ia boleh membawa maut!

Jika anda mengesyaki ahli keluarga anda menunjukkan petanda atau simptom meningitis, dapatkan rawatan kesihatan secepat mungkin. Tiada cara lain untuk memastikan status masalah kesihatan itu selain berjumpa dengan doktor dan menjalani ujian.

Perlu diketahui bahawa meningitis boleh berjangkit. Kuman yang menyebabkannya boleh berpindah kepada orang lain melalui medium udara. Ini biasanya berlaku kerana penghidap batuk atau bersin berdekatan dengan orang lain.

Biasanya, rawatan yang diberikan untuk merawat meningitis adalah bergantung pada penyebabnya. Bagi meningitis bakteria, pesakit perlu mendapat rawatan di hospital supaya doktor boleh memantau kemungkinan yang teruk seperti kehilangan upaya pendengaran, sawan atau kerosakan otak. Anda dan anak anda juga akan dibekalkan dengan antibiotik.

Ujian makmal juga perlu bagi mendalami permasalahan meningitis. Pengambilan sampel cecair tulang belakang (punktur lumbar) diperlukan untuk memeriksa sama ada ia mengandungi organisma yang menyebabkan kesakitan. Selain daripada itu, doktor juga mungkin akan menjalankan beberapa siri ujian lain seperti ujian darah, imbasan CT atau MRI.

--- KOSMO

Plastik T cegah kehamilan

Bagaimanakah alat yang bersaiz tiga sentimeter yang dimasukkan ke dalam rahim ini membantu kehamilan lebih terancang?


PASANGAN suami isteri perlu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menerima kehadiran cahaya mata.



KEHAMILAN yang tidak terancang, adakalanya membawa berita menggembirakan, tetapi ia juga boleh membawa konflik rumah tangga dan masalah psikologi kepada sesetengah pasangan yang belum bersedia menerima cahaya mata.
Menurut Pakar Perbidanan dan Sakit Puan (O&G), Pusat Perubatan Pantai Cheras, Dr. Ho Choon Moy, merancang kehamilan membantu wanita-wanita hari ini mengimbangi masa antara keluarga dan kerjaya mereka.
Dianggarkan kira-kira 220,000 wanita seluruh dunia mengalami kehamilan yang tidak terancang setiap hari.
"Dengan 80 juta kehamilan tidak terancang secara global ini menunjukkan bahawa terdapat keperluan untuk merancang keluarga."
"Pada tahun 1998, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 37 peratus kehamilan tidak terancang disebabkan penggunaan kaedah pencegah kehamilan yang tidak konsisten dan betul."
Beliau tidak menafikan kemungkinan terdapat kegagalan dalam aplikasi alat perancang kehamilan dan perlindungan daripada penyebaran penyakit seksual.
"Kaedah perancangan keluarga berada dalam pasaran tempatan sejak tahun 2000 tetapi masih ramai yang belum mengetahui mengenai Intra Uterine System (IUS).
"Dicipta pada tahun 1970-an di Finland dan dilesenkan sebagai alat pencegah kehamilan pada tahun 1990-an, IUS merupakan satu kaedah efektif dalam merancang kehamilan," kata Choon Moy.
Katanya, IUS merupakan sejenis alat plastik kecil yang bersaiz tiga sentimeter, mudah lentur dan berbentuk T. Ia mengandungi hormon pencegahan kehamilan sebanyak 52 miligram yang dimasukkan ke dalam rahim.
"Sarung pada alat ini akan melepaskan hormon levonorgestrel yang amat sedikit pada kadar yang tetap dan berkesan sehingga lima tahun," ujar beliau ketika forum awam bertajuk Revolusi Kesihatan Wanita anjuran syarikat farmaseutikal, Bayer Schering Pharma Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.





Sungguhpun rekaan IUS dengan alat pencegah kehamilan dalam rahim (IUD) pada zahirnya adalah sama, namun kedua-duanya adalah berbeza.
"Paling utama ialah IUS merupakan satu alat yang diperbuat daripada plastik mudah lentur dan mengandungi hormon levonorgestrel bagi mencegah kehamilan, manakala IUD pula merupakan sebuah alat yang mempunyai tembaga."
Lazimnya, pengguna IUD akan mengalami pendarahan haid yang lebih teruk dan jangka masa yang lebih panjang. Sebaliknya, penggunaan IUS menyebabkan pendarahan yang sedikit dan pendek, malah mereka yang menggunakan sistem ini kebanyakannya hanya perlu memakai pelapik seluar dalam.
Sesuai untuk mereka yang ingin merancang keluarga dan aktif dalam sukan renang dan selam skuba, penggunaan IUS mempunyai banyak kelebihan.
"IUS mencegah persenyawaan manakala IUD pula mengelakkan penempelan telur yang disenyawakan di uterus.
"Oleh yang demikian, pembentukan embrio tidak akan berlaku apabila memakai IUS," kata beliau.
Penggunaan IUS dipercayai tidak memberikan kesan pada aras kolesterol, mekanisme pembekuan darah, kawalan diabetes, kepadatan tulang mahupun tekanan darah.
"Mengambil masa hanya lima minit untuk dimasukkan ke dalam rahim, IUS bertindak dengan menebalkan mukus servik, sekali gus menghalang sperma mensenyawakan telur.
"Dinding rahim yang menipis menjadikan persekitaran itu tidak sesuai untuk pergerakan sperma dan penempelan telur yang disenyawakan," jelas Chee Moy.
Sehingga kini dianggarkan 10 juta wanita dunia terutama di benua Eropah dan Amerika Syarikat (AS) menggunakan IUS.
IUS juga sesuai untuk wanita yang mengalami haid yang banyak kerana ia mengurangkan penebalan tisu endometrium. Ini bermakna kedatangan haid menjadi lebih ringan dan singkat.
"Satu lagi kelebihan besar IUS ialah ia tidak memberikan kesan kepada susu badan dan kesan yang diberikan boleh diubah.
"Ini bermakna, selepas IUS dikeluarkan, wanita boleh hamil semula," kata Choon Moy.
Proses pemakaian dan pengeluaran yang mudah, tidak menyakitkan, ringkas dan tidak perlu menggunakan ubat bius.
"Wanita yang mengalami fibroid boleh menggunakan IUS kerana ia membantu mengurangkan pendarahan," kata pakar ini lagi.
Beliau juga tidak menggalakkan pemakaian IUS kepada mereka yang inginkan cahaya mata dalam masa terdekat. Choon Moy menjelaskan, pemakaian sistem itu amat berbaloi iaitu antara RM15 sehingga RM20 sebulan untuk jangka masa lima tahun.
"Kosnya lebih kurang sama seperti anda membeli tuala wanita untuk setiap kedatangan haid," kata beliau.
Tambahnya, IUS sesuai digunakan oleh wanita menopaus.
Bagaimanapun, IUS juga mempunyai kelemahan seperti kedatangan haid yang tidak teratur dalam masa tiga bulan pertama penggunaan.
"Pendarahan berlaku kerana dinding rahim masih tebal dan dalam proses penipisan. Tetapi selepas itu si pemakai akan mendapati bahawa darah haidnya menjadi semakin sedikit dan tempoh haid yang singkat," jelas Choon Moy.
Katanya, secara purata antara 10 sehingga 20 peratus pengguna IUS tidak mengalami pendarahan haid langsung selepas setahun penggunaan.


PAKAR perubatan beranggapan alat Intra Uterine System dianggap teknologi mengawal kehamilan paling signifikan sejak penciptaan pil pencegah kehamilan.



Menjelaskan lebih lanjut : "Ini tidak bermakna pengguna putus haid. Fungsi ovari juga tidak terjejas dan hormon masih dilepaskan seperti biasa. Ia berlaku kerana endometrium menipis.
"Ketiadaan haid hanyalah sementara dan pengguna tidak perlu bimbang kerana apabila IUS dikeluarkan, haid akan pulih seperti sediakala."
"Kebanyakan pakar perubatan beranggapan IUS merupakan teknologi mengawal kehamilan yang paling signifikan sejak penciptaan pil pencegah kehamilan," katanya.

--- KOSMO

Bersalin sambil berdiri

Jika selama ini wanita bersalin dengan cara berbaring, di Peru lain pula ceritanya. Mereka mengubah tradisi dan percaya bersalin berdiri memiliki kelebihan tersendiri.



KEDUDUKAN berdiri semasa bersalin boleh mengurangkan tempoh proses kelahiran.



HAMIL anak yang ketujuh, Benigna Condori dengan tabah mengatur langkah selama berjam-jam melalui pergunungan Andes di Peru ke sebuah klinik kesihatan yang menggabungkan perubatan moden dengan amalan pribumi seperti bersalin berdiri.

Selepas lima kelahiran di rumah, Condori, 37, telah memutuskan untuk melahirkan dua bayi terakhirnya di salah sebuah daripada beberapa ratus klinik baru yang mula membenarkan wanita bersalin sambil berdiri dan bukan berbaring.

Harapan program itu ialah mengurangkan kadar kematian ibu ketika bersalin dengan menggalakkan wanita miskin, sebahagian besarnya masyarakat pribumi Peru untuk meletakkan diri mereka di bawah jagaan profesional. 



BERSALIN boleh memberi kesan kepada jumlah oksigen yang diterima bayi.



Condori berkata, beliau tidak mahu mengambil sebarang risiko dan menjejak hutan pergunungan itu dirasakan lebih selamat berbanding bersalin di rumah. 

"Saya di sini kerana saya kenal seorang wanita yang hampir meninggal dunia ketika bersalin.

"Bidan-bidan yang ada cuba untuk menyelamatkan beliau tetapi mereka tidak boleh berbuat apa-apa," kata Condori di sebuah rumah kelahiran yang terletak berhampiran pusat kesihatan di Cuzco, kira-kira 1,102 kilometer dari ibu negara, Lima. 

Peru mempunyai populasi masyarakat pribumi yang besar, kebanyakannya di kawasan-kawasan Andes dan Amazon.



SEORANG ibu dan anaknya.



Kemiskinan yang melanda Amerika Selatan itu memberikan kesan tidak seimbang kepada komuniti-komuniti pribumi ini. 

Tembikar-tembikar kuno dari pergunungan Andes menggambarkan wanita bersalin dalam kedudukan duduk atau ketika berdiri. 

Kementerian Kesihatan Peru berkata, posisi kelahiran menegak boleh menjadi lebih baik kepada wanita dengan mengurangkan tekanan di uterus dan saluran darah yang besar yang mampu memberi kesan kepada jumlah oksigen yang pergi ke bayi. 

Kedudukan duduk atau berdiri semasa bersalin juga mengurangkan tempoh proses kelahiran dan bersalin, menurut kementerian kesihatan, dan membenarkan si ibu melihat proses itu lebih baik berbanding ketika berbaring. 

"Sains Barat tidak sedar mengenai keutamaan dan keperluan wanita, terutamanya yang tinggal di kawasan luar bandar yang melihat kelahiran sebagai satu cara semula jadi dan tidak berfikir perubahan kepada posisi bersalin menegak perlu dilakukan," kata kementerian itu dalam sebuah buku yang menjelaskan manfaat bersalin ketika berdiri. 



PUSAT-PUSAT bersalin membenarkan ibu-ibu bersalin pada kedudukan yang lebih natural.



Amalan wanita bersalin ketika berbaring dilakukan untuk kemudahan para doktor, bukan ibu bersalin, kata penyokong kaedah kelahiran Andes. 

Di Peru, sekurang-kurangnya 185 wanita meninggal dunia dalam setiap 100,000 kelahiran, kebanyakannya ketika bersalin di rumah mereka.

"Kadar kematian ibu di benua itu lebih rendah berbanding di sesetengah negara Afrika tetapi tidak bermaksud ia boleh diterima pakai," kata Edgar Ramirez, seorang wakil Tabung Kependudukan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) di Peru. 

Menjelang tahun 2015, kerajaan berhasrat untuk mengurangkan bilangan kematian wanita disebabkan oleh kehamilan kepada 66 peratus dalam setiap 100,000 kelahiran, sebahagiannya dengan menjadikan perkhidmatan kesihatan boleh dicapai dan bertolak-ansur dengan keperluan. 

Peru telah membuka 390 rumah kelahiran sejak sedekad lalu di mana wanita daripada kawasan perkampungan boleh menetap secara percuma sementara menunggu untuk bersalin. 

Tetapi bagi membolehkan pusat-pusat itu boleh melaksanakan tugas mereka, wanita-wanita tersebut perlu menggunakan kemudahan itu - mendapatkan mereka yang hamil untuk meninggalkan rumah untuk melahirkan anak adalah satu cabaran besar. 

"Wanita Andes secara tradisional melahirkan anak mereka di rumah sambil dibantu oleh nenek, pasangan atau pun bidan. 

"Mereka telah biasa dengan keadaan itu dan ini menjadikannya sukar untuk diubah," kata Ramirez. 

Untuk menggalakkan wanita mengambil langkah untuk berubah, pusat-pusat kesihatan sedang membuat perubahan. 

Di rumah-rumah kelahiran yang berhubung dengan pusat kesihatan, wanita boleh membawa ahli keluarga mahu pun haiwan sementara menunggu.



IBU-IBU bersama kelahiran baru anak mereka.



Sesetengah klinik menyajikan teh yang diperbuat daripada herba tradisional yang disediakan untuk membantu mencetuskan kelahiran.
Pusat-pusat tersebut membenarkan wanita mencangkung, duduk atau memakai skirt panjang ketika proses bersalin - satu lagi amalan biasa masyarakat Andes - dan bukan memakai gaun hospital.
Banyak klinik dicat dengan warna-warna lembut untuk membuatkan wanita itu berada lebih selesa dan seperti di rumah.
Maruja Caira, 35, melahirkan anaknya yang ketiga - seorang bayi lelaki - di pusat kesihatan berhampiran Cuzco.
Semasa bersalin, Caira berada dalam kedudukan separa berdiri. Dia berkata, pengalaman itu jauh lebih mudah berbanding ketika berbaring.
"Melahirkan anak saya di sini memberikan saya ketenangan," kata beliau sambil mendakap bayi lelakinya yang sihat. - Reuters Life!

- KOSMO

Thursday, November 11, 2010

Lindungi anak daripada PnD (Utusan Malaysia Online)

KEHADIRAN anak sememangnya ditunggu-tunggu oleh pasangan yang berumah tangga. Anak bukan sahaja bertindak sebagai penyeri rumah tangga tetapi permata yang menambah sinaran kebahagiaan rumah tangga.

Begitupun, kegembiraan menyambut 'ahli baru' dalam keluarga boleh bertukar menjadi mimpi ngeri kepada ibu bapa akibat kurang pengetahuan asas mengenai penjagaan dan keperluan kesihatan bayi khususnya di peringkat tahun pertama kelahiran.

Ini termasuk perkara-perkara yang sering dianggap mudah seperti rutin rawatan di klinik bagi mendapatkan suntikan vaksin.

Pakar Perunding Pediatrik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr. Zulkifli Ismail berkata, ramai kurang prihatin terhadap masalah penyakit berjangkit di kalangan kanak-kanak.

''Seharusnya perkara ini di pandang serius kerana kira-kira dua juta kanak-kanak berusia bawah lima tahun mati setiap tahun akibat penyakit berjangkit.

"Antara penyakit berjangkit dan kematian utama di kalangan kanak-kanak yang semakin disedari di seluruh dunia ialah pneumokokal (PnD).

''Penyakit ini antara penyakit pembawa maut yang paling mudah berjangkit pada hari ini. Dianggarkan seorang bayi meninggal dunia setiap satu minit di seluruh dunia akibat jangkitan bakteria pneumokokus,'' ujarnya pada majlis memperkenalkan Vaksin Prevenar 13, baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pengurus Negara bagi Pfizer, Angela Choi.

Anggaran yang dibuat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut mendapati, setiap tahun penyakit itu menyebabkan kematian kepada lebih sejuta kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah di negara-negara membangun.

Dr. Zulkifli memberitahu, kira-kira 60 peratus kanak-kanak tadika dan prasekolah juga menjadi pembawa bakteria pneumokokus. Ia boleh disebarkan kepada kanak-kanak lain dalam pergaulan seharian di tadika atau taman asuhan.

Jelasnya, terdapat satu bakteria lagi iaitu S. Pneumoniae yang menyebabkan penyakit mengancam nyawa seperti pneumonia, meningitis dan bakteremia (keracunan darah) serta otitis media (jangkitan bahagian tengah telinga).

Setiap tahun bakteria S. Pneumoniae dianggarkan membunuh lebih 735,000 kanak-kanak di bawah umur lima tahun di seluruh dunia terutama di negara membangun.

''Jika dulu pakar pediatrik mendapati kes jangkitan Hib merupakan penyebab utama kepada penyebaran pneumokokus dan kematian membabitkan kanak-kanak berusia bawah lima tahun, tetapi sejak 2005 kajian mendapati, PnD adalah punca utamanya.

''Penyakit ini bukan saja menjangkiti kanak-kanak, malah juga warga emas berikutan sistem pertahanan badan yang agak lemah,'' jelasnya.

Walaupun tiada sebarang ubat khusus untuk merawat PnD, ia masih boleh di atasi dengan penggunaan vaksin.

Malah kanak-kanak kini boleh mendapatkan perlindungan daripada penyakit pneumokokal (PnD) dengan vaksin Prevenar 13 terbaru.

''Vaksin baru ini mampu meluaskan perlindungan kepada enam lagi stereotaip bakteria S. Pneumoniae yang menyebabkan jangkitan kepada otak, paru-paru dan bahagian tengah telinga,'' katanya lagi.

Menurutnya, mengikut sejarah, vaksin pertama telah dihasilkan oleh Louis Pasteur pada tahun 1888. Vaksin itu dicipta untuk melindungi manusia daripada serangan penyakit anjing gila. Ia diikuti dengan vaksin terhadap difteria dan tetanus yang diperkenalkan pada awal tahun 1900-an.

Pada tahun 1963, vaksin demam campak diperkenalkan dan hasilnya hanya 81 kes penyakit tersebut dicatatkan pada tahun tersebut di Amerika Syarikat (AS). Perkara yang sama juga berlaku kepada penyakit polio yang boleh diubati dengan vaksin.

Beliau memberitahu, penyakit polio suatu ketika dahulu merupakan antara ancaman yang terbesar yang pernah dialami oleh masyarakat AS. Angkanya hampir mencecah sehingga 20,000 kes.

Vaksin polio yang diperkenalkan telah memberi sinar baru kepada pesakit

"Justeru kita melihat, vaksin sangat penting bagi merangsang sistem imunisasi tubuh bagi melawan jangkitan yang seterusnya. Penyakit demam campak misalnya pernah meragut 432 nyawa pada sekitar tahun 1958 hingga 1962,'' katanya.

Menurut Zulkifli lagi, vaksin diibaratkan sebagai perisai yang sangat penting untuk semua bayi yang baru lahir. Perlindungan menerusi vaksin adalah antara cara terbaik untuk melindungi tubuh daripada serangan penyakit apabila usia meningkat.

"Jika tiada imunisasi mungkin nyawa anak kecil yang tidak berdosa berada dalam bahaya. Kesihatan anak yang masih kecil tidak terjamin daripada sebarang ancaman penyakit.

"Seperti kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati, justeru pencegahan penyakit adalah kunci kepada kesejahteraan manusia selain melindungi insan tidak berdosa seperti anak-anak kecil,'' katanya lagi.

Katanya, apabila kanak-kanak disahkan menghidap PnD, kesannya amat besar dan mencabar bagi seluruh keluarga.

Namun melalui pelindungan Prevenar 13 ia mampu mengurangkan risiko PnD di kalangan bayi dan kanak-kanak kecil.

Jelasnya, PnD diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 2005 untuk melindungi bayi dan kanak-kanak kecil daripada terus dijangkiti PnD.

Beliau menegaskan, tiada seorang pun kanak-kanak yang boleh dibiarkan tanpa vaksin.

Sebaik sahaja antibodi dihasilkan dalam tindak balas terhadap vaksin yang disuntik, ia akan menjadi antara bahagian paling kukuh dalam sistem imunisasi badan manusia.

Bagaimanapun, jika seseorang itu dibiarkan terdedah kepada jangkitan semula jadi, antibodi akan bertindak melawan jangkitan tersebut.

Tambah beliau, kebanyakan vaksin akan diberikan sejak kanak-kanak lagi kerana sebahagian besar penyakit lebih terdedah pada awal usia memandangkan sistem imunisasi kanak-kanak tidak kuat.

Kini, jelasnya, ibubapa boleh mendapatkan suntikan vaksin Prevenar 13 itu di semua hospital swasta.