Pages

Sunday, February 19, 2012

Mi-CARE bantu ibu dan bayi




KURSUS Mi-CARE ini turut mengajar peserta cara penjagaan bayi secara lebih jelas.

 SAAT melahirkan bayi adalah antara momen terindah buat seorang wanita. Tambah bahagia apabila bayi comel itu cahayamata pertama yang sudah tentu melengkapkan warna ceria keluarga seorang wanita. 

Namun, baik mereka yang pertama kali bergelar ibu mahupun sudah pernah melaluinya, adakah benar-benar arif tentang penjagaan diri serta bayi saat mengandung dan selepas bersalin? 

Tahukah apa yang pantang untuk diambil ketika mengandung dan selepas bersalin? Nutrien apa yang diperlukan dalam menyusukan anak atau apa yang perlu diamalkan bagi memastikan kesihatan mental dan fizikal ibu sama terjamin?

Kebiasaannya, tips ibu-ibu ini diperturunkan daripada orang tua dan ada yang melakukan inisiatif sendiri dengan mendapatkan maklumat menerusi buku dan Internet. 

Melalui sebuah program baru yang dilancarkan buat pertama kalinya di Malaysia, para jururawat bukan sahaja bertugas membantu doktor atau pesakit bahkan turut menjadi sumber maklumat dalam penjagaan ibu dan bayi. 

Program Penjagaan Ibu dan Bayi (Mi-CARE), hasil kerjasama antara Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia (OGSM), Persatuan Perbidanan Kebangsaan Malaysia (NMSM), Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM) dan Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) diperkenalkan bagi membantu menggalakkan pendekatan yang lebih menyeluruh terhadap kehamilan dan kelahiran melalui jururawat.

Program selama dua hari itu meliputi bengkel latihan untuk bidan, jururawat dan pembantu jururawat yang bertugas di pusat-pusat ibu mengandung dan bersalin serta klinik pediatrik seluruh negara. 

Setiap bengkel ditumpukan kepada 11 bidang penting antaranya penjagaan wanita mengandung, pemakanan semasa mengandung, kelahiran bayi dan penjagaan postpartum (selepas bersalin).

Turut dibincangkan soal pemakanan semasa menyusui bayi, perancangan keluarga, menyusukan bayi, penjagaan bayi baru lahir, pemberian makanan lengkap, penjagaan bayi dan kesihatan mental ibu. 

Menurut Dr. H. Krishna Kumar, Presiden OGSM dan Pengerusi Panel Pakar Mi-CARE, proses kehamilan dan melahirkan anak sesuatu yang amat luar biasa bagi wanita kerana pada masa inilah mereka paling terdedah kepada pelbagai jenis masalah. 

“Para ibu memerlukan penjagaan kehamilan baik yang diperoleh daripada interaksi membina dengan penyedia perkhidmatan kesihatan di samping gaya hidup positif yang diamalkannya.

“Menerusi program Mi-CARE, kami berharap untuk memperkukuh hubungan antara kakitangan penjagaan kesihatan khususnya jururawat, dengan golongan ibu. 

“Kami juga berharap jururawat dapat memberikan maklumat dan nasihat yang berkaitan secara lebih berkesan untuk membantu membawa perubahan positif kepada setiap kehamilan,” katanya ketika ditemui pada pelancaran Mi-CARE, baru-baru ini. 

Melalui bengkel Mi-CARE, jururawat dan pembantu jururawat dapat mengikuti perkembangan terkini dalam hal yang berkaitan dengan kehamilan, kelahiran dan penjagaan selepas bersalin. 

Ini akan membolehkan mereka memberikan penjagaan yang lebih berkesan kepada ibu-ibu, menyedari masalah yang boleh berlaku, mengikuti perkembangan dan memberi lebih perhatian kepada kehamilan ibu.

Setiap jururawat yang menjalani latihan akan mendapat manual rujukan terperinci yang memberikan maklumat lebih mendalam tentang pelbagai isu dan masalah yang berkaitan.

Mi-CARE juga memberi bantuan kepada ibu-ibu menerusi talian percuma Pusat Nasihat Telefon Mi-CARE iaitu 1-800-88-9033. 

Pusat Nasihat Telefon Mi-CARE ini dikendalikan oleh seorang pakar pemakanan atau seorang jururawat terlatih. 

Kepada jururawat yang berminat untuk mendaftarkan diri dalam program Mi-CARE, boleh menghubungi sekretariat Mi-CARE di talian 03-56211408 atau 1800-88-9033.

--- UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.