Pages

Sunday, February 19, 2012

Mi-CARE bantu ibu dan bayi


KURSUS Mi-CARE ini turut mengajar peserta cara penjagaan bayi secara lebih jelas.


SAAT melahirkan bayi adalah antara momen terindah buat seorang wanita. Tambah bahagia apabila bayi comel itu cahayamata pertama yang sudah tentu melengkapkan warna ceria keluarga seorang wanita.

Namun, baik mereka yang pertama kali bergelar ibu mahupun sudah pernah melaluinya, adakah benar-benar arif tentang penjagaan diri serta bayi saat mengandung dan selepas bersalin?

Tahukah apa yang pantang untuk diambil ketika mengandung dan selepas bersalin? Nutrien apa yang diperlukan dalam menyusukan anak atau apa yang perlu diamalkan bagi memastikan kesihatan mental dan fizikal ibu sama terjamin?

Kebiasaannya, tips ibu-ibu ini diperturunkan daripada orang tua dan ada yang melakukan inisiatif sendiri dengan mendapatkan maklumat menerusi buku dan Internet.

Melalui sebuah program baru yang dilancarkan buat pertama kalinya di Malaysia, para jururawat bukan sahaja bertugas membantu doktor atau pesakit bahkan turut menjadi sumber maklumat dalam penjagaan ibu dan bayi.

Program Penjagaan Ibu dan Bayi (Mi-CARE), hasil kerjasama antara Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia (OGSM), Persatuan Perbidanan Kebangsaan Malaysia (NMSM), Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM) dan Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) diperkenalkan bagi membantu menggalakkan pendekatan yang lebih menyeluruh terhadap kehamilan dan kelahiran melalui jururawat.

Program selama dua hari itu meliputi bengkel latihan untuk bidan, jururawat dan pembantu jururawat yang bertugas di pusat-pusat ibu mengandung dan bersalin serta klinik pediatrik seluruh negara.

Setiap bengkel ditumpukan kepada 11 bidang penting antaranya penjagaan wanita mengandung, pemakanan semasa mengandung, kelahiran bayi dan penjagaan postpartum (selepas bersalin).

Turut dibincangkan soal pemakanan semasa menyusui bayi, perancangan keluarga, menyusukan bayi, penjagaan bayi baru lahir, pemberian makanan lengkap, penjagaan bayi dan kesihatan mental ibu.

Menurut Dr. H. Krishna Kumar, Presiden OGSM dan Pengerusi Panel Pakar Mi-CARE, proses kehamilan dan melahirkan anak sesuatu yang amat luar biasa bagi wanita kerana pada masa inilah mereka paling terdedah kepada pelbagai jenis masalah.

“Para ibu memerlukan penjagaan kehamilan baik yang diperoleh daripada interaksi membina dengan penyedia perkhidmatan kesihatan di samping gaya hidup positif yang diamalkannya.

“Menerusi program Mi-CARE, kami berharap untuk memperkukuh hubungan antara kakitangan penjagaan kesihatan khususnya jururawat, dengan golongan ibu.

“Kami juga berharap jururawat dapat memberikan maklumat dan nasihat yang berkaitan secara lebih berkesan untuk membantu membawa perubahan positif kepada setiap kehamilan,” katanya ketika ditemui pada pelancaran Mi-CARE, baru-baru ini.

Melalui bengkel Mi-CARE, jururawat dan pembantu jururawat dapat mengikuti perkembangan terkini dalam hal yang berkaitan dengan kehamilan, kelahiran dan penjagaan selepas bersalin.

Ini akan membolehkan mereka memberikan penjagaan yang lebih berkesan kepada ibu-ibu, menyedari masalah yang boleh berlaku, mengikuti perkembangan dan memberi lebih perhatian kepada kehamilan ibu.

Setiap jururawat yang menjalani latihan akan mendapat manual rujukan terperinci yang memberikan maklumat lebih mendalam tentang pelbagai isu dan masalah yang berkaitan.

Mi-CARE juga memberi bantuan kepada ibu-ibu menerusi talian percuma Pusat Nasihat Telefon Mi-CARE iaitu 1-800-88-9033.

Pusat Nasihat Telefon Mi-CARE ini dikendalikan oleh seorang pakar pemakanan atau seorang jururawat terlatih.

Kepada jururawat yang berminat untuk mendaftarkan diri dalam program Mi-CARE, boleh menghubungi sekretariat Mi-CARE di talian 03-56211408 atau 1800-88-9033.


--- UTUSAN MALAYSIA

Hilangkan jangkitan ruam lampin

RUAM lampin merupakan masalah kulit yang paling kerap dialami oleh kebanyakan anak kecil khususnya bayi.

Walaupun ia bukanlah penyakit berbahaya, namun terdapat sebahagian daripada ruam boleh menjadi serius sekiranya tidak diatasi dengan betul.

Ruam lampin lazimnya berlaku di sekitar bahagian yang ditutupi seperti punggung, kelangkang, paha dan kemaluan.

Kulit di sekitar bahagian-bahagian tersebut akan berbintik-bintik kemerahan dan merengsakan bayi.

Masalah ruam lampin biasanya terjadi apabila jangkitan bakteria dan kulat ataupun disebabkan alahan kulit.

Terdapat banyak punca yang menyebabkan berlaku ruam di kalangan bayi. Antaranya apabila kulit bayi menyentuh air kencing yang disebabkan oleh pemakaian lampin dalam tempoh yang terlalu lama.

Ammonia yang dihasilkan air kencing akan mengganggu lapisan perlindungan kulit bayi dan menyebabkan kulit menjadi kemerah-merahan.

Selain air kencing , najis bayi terutama yang cair juga penyebab kepada keadaan menjadi ruam.

Najis sebenarnya amat merbahaya kepada kulit bayi kerana ia terhasil daripada makanan bayi dan juga ubat-ubat tertentu yang diberikan kepada mereka.

Punca lain ialah bahan kimia yang terdapat dalam sabun mandian bayi. Bagaimanapun terdapat juga jenis lampin pakai buang yang menyebabkan alergi pada kulit bayi yang sensitif.

Ruam lampin boleh sembuh dengan sendiri jika kita sebagai ibu mengamalkan penjagaan kulit bayi dengan betul.

--- UTUSAN MALAYSIA

Sunday, May 29, 2011

Selamatkah botol susu anak anda?




TIGA tahun lalu, Program Toksikologi Nasional Amerika Syarikat mengeluarkan laporan bahawa bahan kimia dikenali sebagai bisphenol A (BPA) mungkin menyebabkan masalah berkaitan hormon, termasuk baligh lebih awal di kalangan kanak-kanak dan ketumbuhan barah.

Kandungan bahan kimia BPA lazimnya ditemui pada botol susu bayi. Bertambah buruk lagi apabila botol air yang digunakan untuk minum ketika hamil juga mengandungi kimia ini.

Terdapat kebimbangan pendedahan terhadap BPA boleh memberi kesan kepada bayi dalam kandungan sama ada dari segi neurologi atau tingkah-laku. Bayi turut mengalami risiko yang sama jika kajian ini didapati benar.

Pertubuhan seperti Majlis Kimia Amerika mempertikaikan tidak ada bukti kuat bisphenol A memberi kesan buruk kepada manusia.

Ketika ini, Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) tidak bercadang mengharamkan BPA dalam plastik. Begitupun, Kanada telah mengambil langkah awal dengan melabelkan kimia itu berbahaya.

Namun di sebalik pendedahan tentang BPA, ibu dan bapa masih mempunyai pilihan untuk memilih menggunakan cawan atau botol susu untuk bayi ada.

Selain itu, terdapat botol susu bebas BPA di pasaran dan botol susu kaca sebagai alternatif.

Jalan yang lebih selamat untuk mengelak kontroversi berkaitan keselamatan penggunaan bekas plastik adalah dengan mengelak daripada menggunakannya.

Bukan saja keselamatan anak terjamin bahkan anda sendiri tidak perlu berasa risau.

Isu BPA bukan baru tetapi masih ada alternatif lain bagi mereka yang mahu mengekalkan botol lama.

Seorang pakar perubatan sebuah hospital persendirian di Lembah Klang memberitahu, botol susu polikarbonat telah sejak dahulu lagi. Sebagai seorang doktor, beliau sendiri belum pernah menerima atau merawat kes bayi atau kanak-kanak akibat polikarbonat.

“Dalam kehidupan seharian, kemungkinan botol-botol minuman palikarbonat yang kita gunakan turut terdedah dengan bahan BPA atau Bisphenol A.

‘‘Justeru itu, ia bukan satu persoalan yang baru tetapi semua pihak perlu melakukan kajian terperinci agar botol susu yang digunakan tidak memudaratkan kesihatan

‘‘Adakah satu tahap nanti, ibu bapa perlu menggunakan botol kaca?,” ujar doktor tersebut yang mengutarakan pendapat ringkas.

Menurut Pegawai Perubatan Hospital Pantai Ampang, Dr. Hanafiah Bashirun, BPA adalah bahan kimia industri yang digunakan untuk mmbuat botol susu bayi polikarbonat agar botol tersebut keras dan lutsinar.

“Baru-baru ini kajian Universiti Malaya mendapati percampuran bahan BPA dengan kandungan botol susu berkenaan pada suhu tertentu memberi kesan kepada kesihatan bayi dan kanak-kanak.

‘‘BPA ini pula akan menyebabkan gangguan pada sistem hormon badan bayi sekali gus menjejaskan sistem tubuh badan bayi. Tetapi tiada sebarang kajian saintifik untuk mengesahkan fakta tersebut,” katanya.

Sebagai langkah berjaga-jaga, ibu bapa yang mampu dinasihatkan agar memilih botol susu bebas BPA, contohnya polypropylene (PP), polyethersulfone (PES), polyamides (PA).

Beliau memberitahu, botol susu yang mengandungi BPA biasanya bersifat keras dan lutsinar. Selain itu, perhatikan label kod identifikasi plastik pada bawah botol susu. Botol susu dengan BPA akan dilabel dengan ‘nombor 7', ‘nombor 7 dan PC’ atau ‘nombor 7 dan other’.

Bagi ibu bapa yang sedang menggunakan botol susu mengandungi BPA, adalah dinasihatkan agar menukar botol tersebut kepada botol ‘bebas BPA’.

Jika masih ingin menggunakan botol lama, Dr. Hanafiah menasihatkan agar mereka melakukan langkah berikut :-

l Steril botol susu bayi mengikut arahan pengendalian pada label atau yang diberikan oleh pengeluar, jika ada.

l Jika tiada panduan, pengguna perlu merendam botol susu polikarbonat dalam air yang mendidih selama lima hingga 10 minit.

l Elak menggunakan air panas secara terus dalam botol susu bayi polikarbonat untuk membancuh susu.

l Guna peralatan mencuci botol susu yang sesuai seperti span dan berus lembut bagi mengelak permukaan dalam menjadi rosak dan bercalar.

l Sentiasa periksa permukaan dalam botol susu dan jika ada kesan calar atau rosak, ia perlu diganti.

l Jika tiada kerosakan, botol susu perlu diganti setiap enam bulan.

Katanya, kesan penggunaan botol susu yang mengandungi BPA adalah bersifat jangka panjang.

“Ini disebabkan kesan sampingan pada sistem hormon. Adalah agak sukar untuk mengesannya dalam jangka masa pendek kerana kesannya masih tidak kelihatan. Perlu diingat, tidak ada situasi kecemasan yang timbul disebabkan kesan BPA tersebut,” ujar beliau.

Kebanyakan ibu sibuk dengan kerjaya dan penggunaan susu botol adalah sebagai alternatif bagi mereka yang ingin memberi susu ibu. Seperti yang kita sedia maklum, susu yang terbaik adalah susu ibu.

Berhubung dengan tumbesaran bayi, tiada sebarang kesan pada tumbesaran bagi kanak-kanak yang berumur lima tahun ke atas yang masih menyusu menggunakan susu botol.

Ini kerana zat nutrisi yang terdapat pada susu tersebut juga penting.

Bagaimanapun pada usia tersebut, digalakkan mereka di ajar menggunakan cawan atau botol biasa terutama jika mula memasuki zaman persekolahan.

“ Biasanya pihak hospital tidak akan memberitahu atau mencadangkan jenis-jenis botol susu tertentu yang harus digunakan. Ini kerana kebanyakan hospital menggalakkan penyusuan susu badan. Akan tetapi, pada masa ini, adalah amat digalakkan penggunaan susu botol yang mengandungi BPA dielakkan,” katanya.

Kenal pasti botol susu jenis polikarbonat

l Bersifat keras dan lutsinar yang mana ia mengandungi BPA.

l Botol susu tersebut juga boleh dikenali melalui kod identifikasi plastik yang biasa didapati di bawah botol susu bayi.

l Kod identifikasinya adalah nombor 7, nombor 7 dan PC, nombor 7 dan ‘other’.

l Sementara itu, botol susu bayi yang bebas BPA biasanya dilabelkan dengan perkataan ‘BPA free’ atau bebas BPA.