Pages

Showing posts with label Ikat Peranakan. Show all posts
Showing posts with label Ikat Peranakan. Show all posts

Tuesday, March 16, 2010

Ikat fallopio elak hamil





SEORANG surirumah di kota Manila, Jasmin Arroya, menyedari lebih
besar sesebuah keluarga itu, maka lebih besar juga potensi mereka
terperangkap dalam jurang kemiskinan.

"Saya paling merasainya apabila kami makan bersama makanan di atas
meja tidak mencukupi," kata Jasmin, 33, ibu kepada enam orang anak yang
mengikat tiub fallopio untuk mengelak kehamilan.

"Saya terpaksa membuat keputusan tersebut kerana kehidupan sekarang
begitu menyukarkan. Tambahan pula sumber pendapatan kami terlalu
sedikit."

Pencegah kehamilan tiruan sering menjadi tabu di negara yang
berpegang kuat dengan ajaran Roman Katholik. Dengan kadar kelahiran
antara yang tertinggi di dunia, perkembangan populasi yang semakin
bertambah menjadi isu hangat, terutamanya apabila jutaan rakyat miskin
berusaha keras untuk mencari sesuap nasi ketika kenaikan harga makanan.

Krisis makanan global tahun ini, menyaksikan harga barangan asas
komoditi seperti beras melonjak naik sekali gus membebankan jutaan
golongan miskin di Filipina.

Lebih 40 peratus penduduknya hidup dengan pendapatan kurang AS$2 (RM6.40) sehari.

Ditambah dengan pergolakan politik dan situasi ekonomi yang lembap,
maka terdapat pihak cuba meluluskan draf undang-undang yang memaksa
kerajaan untuk mempromosikan kaedah perancangan keluarga tiruan.
Seramai 27 orang pakar ekonomi termasuk empat bekas setiausaha
perancang ekonomi dan seorang bekas setiausaha bajet, telah
menandatangani usul untuk menyokong draf undang-undang tersebut.

"Kekurangan polisi terhadap populasi penduduk yang tepat
membayangkan kelemahan serius dalam promosi perkembangan ekonomi jangka
panjang dan mengurangkan kadar kemiskinan," kata Ernesto Pernia,
profesor ekonomi di University of Philippine dan salah seorang daripada
27 pakar ekonomi yang menandatangani usul tersebut.

HAMPIR separuh daripada 3.1 juta kehamilan yang berlaku setiap tahun di Asia Tenggara tidak terancang.


Beliau membandingkan Filipina dengan Thailand. Pada tahun 1975,
kedua-dua negara mempunyai saiz populasi penduduk yang sama iaitu 41
hingga 42 juta. Kemudian Bangkok melancarkan usaha besar-besaran ke
arah perancangan keluarga.

Kini, populasi penduduk Thailand sekitar 64 juta dan mereka juga
merupakan pengeksport beras utama dunia. Sementara itu, Filipina dengan
populasi penduduk seramai 90 juta pula adalah pengimport hasil bijirin
utama dunia.

Thailand mempunyai pendapatan kasar tahunan per kapita sebanyak
AS$7,880 (RM26,260) pada 2007 manakala Filipina hanya AS$3,730
(RM12,434).

"Kajian kami menunjukkan bahawa jika Filipina mengikut langkah
Thailand dalam perkembangan populasi penduduk antara tahun 1975 dan
2000, pendapatan per kapita mungkin sekurang-kurangnya mencapai 25
peratus lebih tinggi daripada sekarang dan hanya terdapat kurang 5 juta
penduduk miskin," jelas Pernia.

Bagaimanapun, pihak gereja menentang habis-habisan perancang
keluarga tiruan kerana menganggap ia sebagai penghinaan kepada agama.
Malah pihak gereja juga telah mengumumkan draf undang-undang tersebut
sebagai perkara moral yang tidak boleh diterima dan memberi amaran
kepada ahli politik.

Menurut fakta, hampir separuh daripada 3.1 juta kehamilan yang
berlaku setiap tahun di Asia Tenggara tidak dirancang. Lebih kurang
setengah juta pula adalah kehamilan sebelum berkahwin dan disebabkan
itu tindakan menggugurkan kandungan sering dilakukan.

Ketika sebahagian kecil masyarakat kelas pertengahan di Filipina
menggunakan kaedah perancang keluarga, jutaan wanita miskin tidak
berkemampuan melakukannya. Kos bekalan pil perancang untuk tempoh
sebulan bernilai sekitar AS$0.86 (RM2.80), lebih kurang separuh
daripada pendapatan harian hampir setengah daripada populasi penduduk.

Kekurangan maklumat yang tepat dan kemudahan kaedah pencegah
kehamilan juga turut menjadi masalah. Kerajaan tempatan ketiadaan
sumber wang yang mencukupi untuk menyediakan pil dan kondom di
klinik-klinik awam. Selain itu, pihak gereja juga membantah tindakan
tersebut.

Malah, pegawai yang menentang gereja adakalanya turut menerima
risiko dikenakan tindakan. Joseph Juico, anggota Majlis Perbandaran di
Quezon City, Manila contohnya, dikecam kerana memperkenalkan program
perancang keluarga di sekolah.

"Beberapa paderi dan menteri memanggil saya penggugur kandungan. Di
samping itu, paling teruk mereka turut menggelar saya sebagai pekerja
syaitan," ujar Juico.

Paderi Katholik berkata, kaedah perancang keluarga semula jadi
seperti mengelak daripada melakukan hubngan seks apabila wanita dalam
keadaan subur adalah paling berkesan.

Namun, ia sebenarnya sukar untuk diikuti kerana ramai pasangan di
Filipina hanya bertemu sekali atau dua kali sebulan akibat tuntutan
kerja.

Justeru itu, kekurangan kaedah pencegah kehamilan tiruan bermakna
bahawa ramai wanita terpaksa mengambil keputusan untuk menggugurkan
kandungan kerana bimbang mereka tidak mampu menyara anak yang bakal
lahir itu lantaran kesempitan hidup yang dialami.

Tanpa polisi kawalan kehamilan yang efektif, Filipina merupakan
negara ke-12 yang memiliki populasi penduduk paling ramai di dunia.
Dijangkakan populasi penduduk negara itu akan berkembang melebihi 140
juta menjelang 2040. - Reuters

Tuesday, March 9, 2010

Risiko ikat peranakan (Berita Harian)

Oleh Suzan Ahmad


KEADAAN mengikat peranakan (dari kiri) dilecuhkan, ikat, potong dan klip.

Peluang wanita hamil semula amat tipis biarpun jalani prosedur buka semula salur fallopian dan IVF

APAKAH pilihan yang ada sekiranya selepas mengikat salur peranakan secara Bilateral Tubal Ligation (BTL), anda mengubah fikiran untuk hamil semula? Pertama melakukan prosedur Reversal of Tubal Ligation (RTL) iaitu membuka semula tiub fallopian yang diikat atau teknik Permanian Berhadas yang lebih dikenali sebagai In-Vitro Fertilization (IVF). Apapun pilihan anda, dilemanya tetap ada.

Pelbagai faktor harus diambil kira termasuk emosi, mental, fizikal, peratusan kejayaan kedua-dua teknik ini yang masih rendah selain kosnya yang agak tinggi. Isu berkaitan zuriat memang cukup menyentuh emosi kerana zuriat bukan saja mampu mengukuhkan ikatan perkahwinan malah berkemungkinan menjadi penyebab keruntuhan rumah tangga.

Pakar Perunding Obstetrik, Ginekologi dan Perubatan Reproduktif, Pusat Perubatan Darul Ehsan, (DEMC) Shah Alam, Dr Zamri Abdul Rahim menjelaskan ada beberapa sebab mengapa seorang wanita mengambil keputusan mengikat peranakan atau pembuluh yang membawa telur ke dalam rahim ini.

Pertama, jumlah ahli keluarga sudah lengkap atau kedua dinasihatkan untuk berbuat demikian selepas tiga kali melalui kelahiran secara pembedahan atau caesarean atas dasar kesihatan atau ketiga, kerana berkahwin semula.

“Sayangnya kebanyakan kes wanita yang dinasihatkan mengikat peranakan selepas melahirkan secara caeserean masih muda dan berpotensi untuk hamil lagi,” katanya yang menjelaskan ada negara di dunia yang tidak membenarkan prosedur BTL sehingga menyebabkan risiko komplikasi kepada si ibu.

KEADAAN ketika mengikat peranakan (kiri) dan bagaimana proses mengikat itu dilakukan.

Di Malaysia sebaliknya, kesihatan ibu lebih mustahak berbanding bilangan anak kerana mengikut amalan perubatan di negara ini, kemampuan untuk hamil, adalah satu kebolehan seseorang wanita itu.

Ada beberapa cara mengikat peranakan yang biasa dilakukan di negara ini termasuk teknik terbuka selepas selesai kelahiran caesarean. Ia dilakukan dengan mengikat, memotong dan melecuhkan saluran itu. Jika melalui teknik laporoskopi pula, biasanya klip atau lingkaran cincin digunakan, kadangkala ia turut dilecuhkan.

“Apabila wanita mahu hamil kembali secara normal, peranakan yang diikat tadi boleh dibuka semula menerusi teknik RTL. Soalnya adakah anda calon sesuai untuk prosedur membuka tiub peranakan kerana tidak semua wanita yang pernah mengikat peranakan boleh melakukannya,” katanya.

Sepanjang tempoh pemeriksaan, pakar kesuburan akan memeriksa tahap kesihatan semasa salur fallopian, biasanya menggunakan teknik laproskopi. Pakar juga akan menyemak rekod pembedahan dan patologi di mana prosedur mengikat peranakan dilakukan. Mereka juga akan mengambil kira beberapa faktor berikut seperti bagaimana ligasi tiub dilakukan (sama ada tiub fallopian dipotong, diikat, dilecuhkan atau disekat tanpa surgeri mengguna klip atau cincin); bahagian mana pada tiub fallopian anda ligasi dilakukan; berapa banyak lagi tiub fallopia yang tinggal; tahap kesihatan tiub fallopia dan usia anda.

Isu lain yang sama penting adalah kualiti sperma pasangan, keadaan dan status pelvik bebas dari komplikasi seperti endometriosis atau sebarang parut tisu sekitar tiub atau ovari; kuantiti telur dan kualitinya. Jika komplikasi ini wujud, peluang untuk reversal berjaya sangat tipis. Bagaimanapun, komplikasi ini tidak menjejaskan kehamilan menerusi IVF secara umumnya. Justeru IVF dilihat sebagai pilihan terbaik sekiranya pesakit mempunyai masalah endometriosis atau parut tisu di pelvik.

Walaupun, RTL diamalkan dan boleh menyumbang kepada kehamilan secara normal, perlu diambil perhatian prosedur ini tidak dipraktikkan sekerap IVF di Malaysia berbanding Amerika Syarikat dan Eropah.

“Ini kerana RTL menggunakan kaedah mikro surgeri yang agak rumit, mungkin dari segi kos ia lebih murah dan kedengaran lebih mudah dari segi tekniknya berbanding IVF tetapi rasa bimbang sekiranya ia gagal perlu ada.”

Pakar kesuburan di sini mungkin lebih cenderung kepada IVF memandangkan reversal memerlukan teknik khas termasuk mikroskop dan kelengkapannya yang malangnya tidak banyak hospital di Malaysia sanggup melabur kos yang tinggi untuk menyediakan peralatannya,” jelasnya lagi yang merujuk kepada kadar kejayaan yang rendah dan komplikasi reversal yang tinggi termasuk kes hamil luar rahim (ectopic).

“Cara terbaik adalah bertanya pakar mengenai pesakit lain yang berjaya menjalani prosedur reversal mahupun IVF dan bercakap sendiri dengan mereka. Sekiranya ada cara yang lebih selamat, adalah wajar untuk dipertimbangkan kerana akhirnya pasangan hanya mahukan zuriat yang sihat,” jelasnya yang bangga dengan peratusan kejayaan kehamilan menerusi IVF di DEMC yang kini mencecah 25 peratus.


FAKTA:

Alasan ikat peranakan

  • Tidak mahukan zuriat
  • Mengawal jumlah anggota keluarga
  • Tidak boleh hamil atas sebab kesihatan
  • Aktiviti seks yang aktif dan subur tanpa perlu bergantung pada perancang keluarga seperti pil
  • Atas sebab perubatan/kesihatan

Prosedur ikat
  • Tiub fallopia dipotong dan diikat
  • Disekat dengan gelung silikon
  • Penggunaan klip

Pemeriksaan bagi hamil semula
  • Pakar kesuburan memeriksa tahap kesihatan salur fallopian, biasanya menggunakan teknik laproskopi.
  • Meneliti rekod pembedahan dan patologi prosedur mengikat peranakan dilakukan.
  • Faktor lain diambil kira termasuk bagaimana ligasi tiub dilakukan (sama ada tiub fallopian dipotong, diikat, dilecuhkan atau disekat tanpa surgeri mengguna klip atau cincin); bahagian mana pada tiub fallopian anda ligasi dilakukan; berapa banyak lagi tiub fallopia yang tinggal; tahap kesihatan tiub fallopia dan usia wanita berkenaan.
  • Ujian sperma pasangan turut dilakukan.