Pages

Showing posts with label Jaundis / Penyakit Kuning. Show all posts
Showing posts with label Jaundis / Penyakit Kuning. Show all posts

Monday, September 6, 2010

Jaundis bayi undang risiko (Utusan Malaysia)

JAUNDIS merupakan penyakit yang biasa dialami bayi yang baru dilahirkan. Lazimnya ia dapat dikesan selepas 24 jam bayi itu dilahirkan.

Hari ini, sekitar 50 peratus bayi yang dilahirkan mendapat jaundis. Biarpun jaundis adalah suatu penyakit yang biasa dihidapi bayi namun ia boleh menjejaskan kesihatan bayi.

Jaundis yang teruk, jika tidak ditangani dengan betul boleh mengundang risiko. Bayi boleh menjadi pekak dan kemungkinan kerosakan otak.

Pakar Kanak-kanak Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam, Selangor Dr. Roliza Ibrahim dalam satu pertemuan, menasihatkan ibu bapa jangan memandang ringan penyakit jaundis ini.

“Jaundis berbahaya sekiranya bayi itu menghidap jaundis yang teruk dan kesannya boleh dilihat dalam proses perkembangan fizikal dan mental bayi,” kata Dr. Roliza serius.

Dr. Roliza juga menegaskan sehingga kini tiada yang pasti bahawa faktor pemakanan si ibu boleh mengundang jaundis.

Di samping itu tidak ada bukti-bukti kukuh atau jelas menunjukkan jaundis itu hanya mempengaruhi etnik-etnik tertentu.

Apa itu jaundis?

Jaundis bermaksud kehadiran warna kuning di bahagian kulit bayi dan bahagian putih mata yang disebabkan oleh terlalu banyak mendapan bilirubin di dalam badan.

Menurut Dr. Roliza, bilirubin dihasilkan secara berterusan di dalam badan tetapi ia dinyahkan daripada badan dengan pantas berbanding penghasilannya.

Maknanya, jaundis tidak akan berlaku selagi bilirubin dapat disingkirkan dengan cepat berbanding penghasilannya di dalam badan.

Jaundis terjadi akibat pengeluaran bilirubin yang berlebihan dan tidak dapat dinyahkan oleh hati.

Lebihan bilirubin itu akan mengalir melalui saluran darah ke lain-lain bahagian badan dan menyebabkan kulit menjadi kuning.

Jelasnya, ia berkemungkinan disebabkan oleh proses penyingkiran bilirubin oleh organ hati yang begitu perlahan.

Risiko jaundis

Paras kepekatan bilirubin yang begitu tinggi dan berada lama di dalam darah boleh merosakkan otak bayi.

Justeru ibu bapa perlu peka dengan keadaan bayi kerana kekuningan itu memberi isyarat, bayi perlu mendapat rawatan segera, tanpa mengira apakah puncanya.

Apa yang penting, bayi perlu diberi rawatan di hospital secepat mungkin apabila paras kepekatan bilirubin sangat tinggi. Apa yang penting ia boleh mengelak terjadinya kenicterus.

Kenicterus yang asalnya daripada dua perkataan Greek adalah nama yang diberikan kepada kerosakan otak akibat bilirubin yang berlebihan dan melekat di otak.

Ibu bapa tidak perlu risau sekiranya, paras jaundis bayi adalah rendah kerana ia tidak begitu membahayakan.

Jaundis fisiologikal

Selain jaundis biasa terdapat sejenis jaundis yang dikenali sebagai jaundis fisiologikal.

Jaundis ini berlaku di kalangan bayi yang baru lahir. Pada kebanyakan bayi yang baru dilahirkan, sel darah merah yang berlebihan akan pecah dan disingkirkan daripada tubuhnya.

Sel-sel darah merah yang terpecah ini pula akan membebaskan pigmen bilirubin. Ia juga mungkin membebaskan pigmen bilirubin.

Hal ini terjadi, disebabkan hati bayi yang baru lahir itu belum matang dan tidak mampu mengendalikan penghasilan bilirubin yang berlebihan.

Ini juga bermakna bilirubin ini tidak dapat disingkirkan dengan secepat yang dikehendaki lantas mengakibatkan jaundis.

Biasanya jaundis fisiologikal ini berlaku di kalangan bayi yang berusia 3 - 4 hari dan mungkin berlarutan sehingga 5 - 7 hari.

Bagaimanapun, jaundis yang berakhir selepas 14 hari mungkin disebabkan beberapa masalah dan perlu menjalani pemeriksaan yang lebih lanjut.

Menurut Dr. Roliza, bayi sihat mahupun bayi yang tidak mengalami jaundis teruk sebenarnya mengalami jaundis fisiologikal.

Kadangkala, jaundis disebabkan beberapa faktor lain dan bayi perlu menjalani pemeriksaan yang lebih lanjut.

Punca jaundis

Perbezaan kumpulan darah antara ibu dan anak juga boleh menyebabkan jaundis. Selain itu jaundis mungkin juga disebabkan sel darah merah yang tidak normal seperti kekurangan G6PD (Glucose-6-Phosphate- Dehydrogenase).

Bayi yang menghidap jangkitan boleh juga mendapat jaundis. Bawalah anak ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Rawatan hospital

Sekiranya bayi dimasukkan ke wad kerana jaundis, ia tidak mengambil masa yang begitu panjang atau lama. Selalunya bayi masih mengalami sedikit kekuningan tatkala dibenarkan untuk dibawa pulang.

Bayi yang mendapat jaundis ini akan diberi rawatan di bawah sinar cahaya atau rawatan fototerapi untuk beberapa hari.

Kekuningan itu akan hilang dalam beberapa hari sahaja. Bagaimanapun adalah penting bagi ibu atau bapa memastikan jaundis yang dialami bayi akan pulih sepenuhnya selepas tempoh tersebut.

Demi memastikan bayi bebas jaundis, ibu bapa atau penjaganya perlu membawa bayi seminggu selepas bayi keluar dari hospital.

Mengenai pengambilan susu kambing oleh bayi yang menghidap jaundis, Dr. Roliza menegaskan, perbuatan itu wajar dielakkan.

Ini kerana susu kambing mengandungi zat-zat galian yang lebih tinggi berbanding susu lembu dan susu badan.

Menurut Dr. Roliza, ini juga bermakna ia tidak sesuai untuk bayi kerana organ-organ di dalam belum mampu untuk memprosesnya.

Katanya, “lagipun kebersihan susu itu diragui kerana proses perahan susu tidak dipastikan tahap kebersihan yang sepatutnya. Susu tersebut mungkin tercemar.

“Jika ini berlaku, ia boleh mengundang cirit-birit yang boleh memudaratkan bayi itu,” ujar Dr. Roliza lagi.

Beliau menasihatkan, ibu-ibu meneruskan penyusuan yang dapat membantu menurunkan kadar kekuningan bayi.

“Sememangnya susu ibu amat berharga dan terbaik dalam membantu mempercepatkan proses mengurangkan kekuningan pada bayi,” ujarnya lagi.

Setelah bayi mendapat susu yang cukup ia membantu mempercepatkan proses menyahkan bilirubin menerusi pembuangan air besar atau air kecil.

Menjawab pertanyaan, Dr. Roliza menjelaskan, pengambilan jamu oleh ibu eloklah dihentikan sementara sehingga bayi benar-benar bebas daripada kekuningan jaundis.

Ditanya mengenai petua lama menjemur bayi pada sebelah pagi bagi menghilangkan kekuningan itu, Dr. Roliza menjelaskan, amalan itu sudah tidak sesuai lagi kerana ozon yang semakin menipis dan sinaran UV boleh menjejaskan kesihatan bayi.

* Jaundis dan risikonya

Ibu bapa diingatkan bahawa jaundis yang teruk boleh menjejaskan otak dan merosakkan otak bayi.

Ia berlaku khususnya kepada bayi yang mempunyai sel darah merah yang abnormal, kekurangan G6PD dan Rhesus yang tidak sesuai dengan ibunya.

Keadaan ini menyebabkan paras bilirubin menjadi sangat tinggi di dalam darah. Apa yang tidak diketahui sehingga ini ialah sama ada kerosakan otak akan berlaku juga pada bayi yang mempunyai sel darah merah yang normal.

Namun terdapat bukti-bukti saintifik menunjukkan jaundis jarang berlaku pada bayi yang mempunyai sel darah merah yang normal.

Kebaikan paras bilirubin rendah mahupun ringan tidak dapat dipastikan tetapi sesuatu yang pasti, bilirubin mempunyai agen anti- oksidan namun kepentingannya tidak diketahui. Apa yang diketahui ialah paras bilirubin yang rendah tidak memudaratkan bayi.

Majoriti bayi yang menghidapi jaundis yang teruk membesar menjadi kanak-kanak yang normal.

Bagaimanapun hanya segelintir yang menghadapi jaundis teruk semasa episod jaundis dan terdapat tanda penyakit itu, mempunyai risiko menghidapi cerebral palsy atau palsi serebrum dan pekak.

Tanda-tanda penyakit palsi ini mungkin tiada sehinggalah bayi membesar dan berkembang.

Bayi perlu menjalani pemeriksaan dengan tekal oleh pakar pediatrik bagi mencari bukti kehadiran palsi serebrum. Biasanya pemeriksaan perlu dijalankan dua hingga empat kali setahun untuk tempoh dua tahun pertama.

Bayi yang menghidap jaundis biasanya mengalami najis berwarna kekuningan atau kehijauan. Najis berwarna pucat di kalangan bayi itu memberi isyarat penting bagi anda untuk membawanya berjumpa doktor untuk rawatan seterusnya.

Najis berwarna pucat bermakna terdapat penyekatan saluran hempedu di antara hati dan usus kecil.

Pesan Dr. Roliza, jaundis biasanya tidak memudaratkan namun jangan diambil mudah. Berjumpalah dengan doktor untuk mendapat rawatan segera bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Thursday, July 22, 2010

Panduan penjagaan bayi jaundis


BAYI jaundis perlu didedahkan kepada cahaya bililight sebagai rawatan. – Gambar hiasan


BAYI yang baru lahir berisiko menghidap demam kuning atau dikenali sebagai jaundis, sama ada bersifat normal atau patologi.

Lebih kurang 50 ke 60 peratus bayi yang lahir cukup bulan mengalami jaundis pada minggu pertama hingga ke minggu kedua selepas dilahirkan.

Jaundis juga biasanya berlaku kepada bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan.

Pada sesetengah bayi, ia berlaku hanya sekejap, tidak merbahaya dan akan hilang sendiri atau dengan rawatan yang ringkas . Tetapi dalam kes-kes tertentu, ia boleh menjadi serius dan perlu diberi perhatian.

Jaundis boleh dikesan dengan melihat tanda-tanda seperti bahagian putih mata dan juga kulit yang bertukar warna kekuningan.

Kesan itu dapat dilihat dengan jelas apabila ditekan. Ia bermula dari bahagian kepala dan semakin menurun ke bahagian bawah badan. Bayi jaundis juga akan kerap tidur.

Biasanya bayi yang lahir mengalami warna kekuningan ini disebabkan pigmen kuning atau lebih dikenali dengan nama bilirubin yang meningkat dalam darah.

Bilirubin ini berlaku akibat pemecahan sel-sel darah merah sewaktu bayi lahir. Ketika bayi dalam kandungan, bilirubin dibuang melalui plasentra dan seterusnya oleh organ. Hati dari ibu akan diolah menjadi bilirubin untuk dibawa ke usus dan seterusnya dibuang melalui proses tinja.

Namun setelah bayi lahir, proses tadi akan dilakukan oleh hati bayi itu sendiri. Disebabkan fungsi hati belum sempurna, proses itu lebih lambat menyebabkan bilirubin tetap tinggi dalam bayi.

Bilirubin inilah yang masuk ke jaringan kulit sehingga bayi kelihatan kuning pada keseluruhan tubuh dan matanya.

Bagi bayi normal, setelah tiga atau empat hari kelahirannya, kadar bilirubin akan menurun perlahan-lahan seiring dengan pertambahan fungsi hatinya.

Biasanya bila umur mencecah tujuh hari, bayi sudah tidak kelihatan kekuningan lagi. Inilah penyakit kuning yang bersifat fisiologi atau normal dan tidak berbahaya bagi bayi.

Namun, berbeza pula bagi yang menghidap penyakit kuning patologi. Ia timbul lebih cepat dan biasanya 24 jam setelah kelahiran dan peningkatan kadar bilirubin di dalam darah bayi juga berlaku dengan lebih cepat.

Jenis penyakit kuning seperti ini boleh disebabkan oleh jangkitan pada bayi, ketidaksesuaian jenis darah ibu dan bayi, serta kes yang jarang berlaku disebabkan kekurangan enzim G6PD (glukosa 6 Phosphate Dehidrogenase). Enzim ini terdapat di dalam dinding sel darah merah yang berfungsi untuk mencegah sel-sel darah merah.

Apa perlu dilakukan

Pemeriksaan akan dibuat dengan menekan kulit bayi atau mengambil darah untuk mengukur tahap bilirubin.

Untuk memeriksa sendiri, bagi kulit bayi berkulit cerah, boleh diletakkan di tempat banyak cahaya atau lampu. Tekankan kulit secara lembut dengan jari anda di bahagian hidung, dahi atau dada, jika terdapat kesan kekuningan apabila jari diangkat bermakna bayi anda mengalami jaundis.

Bagi bayi berkulit gelap, boleh periksa gusi atau mata putih.

Biasanya ia tidak memerlukan rawatan. Jika memerlukan rawatan, ia dirawat menggunakan phototerapi iaitu menggunakan cahaya. Bayi dibogelkan, mata ditutup dan diletakkan di bawah cahaya bililight.

Jika ditahap yang terlalu tinggi, penukaran darah akan dilakukan.

Kebanyakan kes jaundis ini tidak memerlukan rawatan phototerapi. Berikut disenaraikan langkah yang boleh dibuat untuk mengelak atau merawatnya.

lMenyusukan bayi dari awal dan dengan kerap.

Kolostrum akan bertindak sebagai laksatif dan kekerapan membuang najis akan merendahkan tahap bilirubin.

lElakkan mengambil air tambahan. Hanya dua peratus bilirubin keluar melalui air kencing dan 98 peratus keluar melalui najis. Kolostrum dan susu yang mengandungi lemak akan menstimulasikan pergerakan membuang air besar. Jika bayi anda kenyang dengan air dia akan kurang menyusu.

lGalakan bayi anda berjaga dan menyusu setiap dua jam.

lJika bayi tertidur ketika menyusu badan dan membuang air besar kurang dari tiga kali sehari, cuba perah susu anda menggunakan tangan atau pam dan beri kepada bayi anda.

lDedahkan kepada cahaya secara tidak terus kerana kulit bayi sensitif. Buka pakaian serta lampin dan letak di dalam bilik yang ada banyak cahaya.


--- UTUSAN MALAYSIA