Pages

Monday, September 6, 2010

Isu pengguguran tanggungjawab sosial

Gambar Hiasan

MAKCIK, saya terpaksa mengesahkan anak makcik mengandung,” menyirap darah Fatimah apabila mendengar kata-kata doktor.

Lebih merisaukan anaknya bakal menjejakkan kaki ke institut pengajian tinggi (IPT).

Pastinya berita itu mengecewakan mereka sekeluarga apabila anaknya tidak layak hanya kerana pemeriksaan kesihatan mengesahkan dia mengandung.

Dengan nada sedih, Fatimah merayu pada doktor untuk mencari jalan supaya anaknya dapat masuk ke IPT.

Fatimah dimaklumkan bahawa calon yang mengandung tidak dibenarkan mendaftar pengajian kerana dibimbangi mengganggu pelajaran.

Terdetik di hati Fatimah supaya anaknya menggugurkan kandungan memandangkan masa depan anaknya lebih penting.

“Doktor, tolonglah saya. Saya sanggup buat apa sahaja asalkan anak saya dapat masuk IPT. Mungkin anak saya perlu gugurkan kandungan?” ujar Fatimah.

Doktor menggelengkan kepala, dengan nada perlahan dia menasihatkan Fatimah melupakan hajatnya itu. Pengguguran paksaan itu jelas menyalahi undang-undang dan moral.

Berbeza dengan pengguguran terapeutik, keguguran secara paksaan adalah sengaja dilakukan, selalunya atas kehendak sendiri.

Kebiasaannya ia mempunyai tujuan-tujuan tertentu seperti melewatkan kehamilan atau tidak mahu mengandung lagi.

Selain itu, ada juga yang tidak mahu mengganggu kerja atau pelajaran, mengelak masalah kewangan dan perhubungan.

Keguguran paksaan juga dilakukan kerana kehamilan yang tidak dirancang atau tidak diingini kerana tidak menggunakan kontraseptif.

Menurut Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Prince Court, , cara-cara pengguguran secara paksa menggunakan perubatan yang dikenali sebagai pengguguran kimia.

Bahan yang biasa digunakan adalah mifepristone dan prostaglandins, biasanya dilakukan di peringkat awal kehamilan.

Satu lagi jenis keguguran paksaan adalah pengguguran pembedahan.

Misalnya, penyedutan dengan vakum yang dilakukan secara manual atau elektronik iaitu menggunakan mesin elektronik bagi usia kandungan kurang daripada 12 minggu.

Pengguguran pembedahan juga melibatkan Dilatation and Curettage (D&C) bagi usia kandungan 15-24 minggu, dilatasi dan menarik keseluruhan bayi bagi usia kandungan melebihi 24 minggu.


--- UTUSAN MALAYSIA

Rancang perjalanan balik kampung (Utusan Malaysia)

ARKIB : 02/09/2010


Bawa mainan si manja supaya dapat menenangkannya ketika dalam perjalanan.


PERJALANAN balik kampung atau melancong bersama bayi buat kali pertama bukanlah sesuatu yang mudah. Perancangan dan persediaan awal sememangnya bagus, tetapi jangan jangka bahawa semuanya akan berjalan lancar.

Sekiranya mempunyai masalah merancang perjalanan balik kampung bersama bayi pada raya kali ini, di bawah beberapa panduan bagi mengurangkan kebimbangan anda.

Menurut sebuah buku penjagaan anak, Johnson's Mother and Baby panduan asas yang membolehkan perjalanan tidak menyusahkan ialah komunikasi.

Sama ada anda sedang melawat ibu bapa, mertua, atau rakan, pastikan anda memberitahu rancangan serta keperluan anda terlebih dahulu. Antara perkara yang penting termasuklah tempat penginapan, keselamatan tempat tersebut bagi kanak-kanak, penjagaan anak, peraturan di rumah serta rancangan harian.

Buku tersebut turut menasihatkan agar membawa barang-barang asas. Fikirkan apa yang perlu bayi anda makan dan pakai, serta di mana tempat dia tidur, bagaimana cara tidurnya dan bagaimana menguruskan penukaran lampin.

Jangan lupa untuk membenarkan si kecil berehat buat seketika setelah sampai ke destinasi. Walaupun orang yang tersayang di kampung menantikan kehadiran anda dan si kecil, ingatlah bahawa bayi anda baru sahaja mengalami perjalanan jauh buat kali pertama.

Buku Asian Parenting Today pula menyebut tentang kepentingan mempunyai senarai semak. Pada malam sebelum bertolak, simpan dan susun semua barang tahan lama dalam kereta. Barang makanan seperti susu dan lain-lain harus tersedia dalam bekas supaya boleh dibawa dengan mudah.

Simpan keperluan utama dalam beg yang lain dan mudah dicapai - seperti beg lampin. Lampin, krim ruam, tisu lembap, susu, snek, beg plastik dan perkakas makanan harus disimpan di tempat yang mudah untuk diambil.

Sentiasa sediakan beberapa baju persalinan bimbang makanan tertumpah dan sebagainya.

Rancang waktu bertolak yang membolehkan bayi mendapat tidur hariannya seperti bertolak pada lewat petang agar bayi dapat tidur sepanjang malam.

Lebih lama bayi tidur sepanjang perjalanan itu, lebih baik. Sekiranya memandu pada waktu siang, berhenti pada waktu-waktu tertentu agar bayi dapat menyusu, berehat serta menikmati udara segar di luar kenderaan.

Sediakan mainan dan muzik bagi menenangkan dan menghiburkan bayi.

Buku First Time Parents mengatakan sekiranya bayi diberikan susu formula, pastikan anda boleh memanaskan susu dalam kereta (terdapat banyak produk di pasaran bagi tujuan ini).

Jangan lupa untuk membawa susu formula, botol dan air yang secukupnya. Namun sekiranya memberi susu badan, ia jadi lebih mudah kerana tidak perlu membawa apa-apa barang tambahan.

Rancang untuk berhenti sebentar apabila bayi kelaparan (rehat ini juga diperlukan oleh ibu bapa) Sebagai alternatif, cuba susukan bayi tatkala dia masih di tempat duduk bayi.

Dengan adanya seorang dewasa di bahagian belakang kereta boleh membantu bayi menjadi lebih tenang dan gembira.

Thursday, July 22, 2010

Urutan bantu wanita (Utusan Malaysia)


Oomi Jannah bersama herba yang digunakan untuk rawatan.


KEHAMILAN dan melahirkan anak dianggap antara pengalaman paling istimewa dan berharga dalam hidup setiap wanita. Dalam tempoh tersebut, bakal ibu bukan sahaja akan mengalami perubahan dari segi mental dan emosi, bahkan juga fizikal.

Menurut pakar urutan dan perbidanan tradisional, Oomi Jannah Abdul Hamid, 55, penjagaan dan rawatan semasa berpantang amat penting bagi memastikan si ibu benar-benar kembali sihat seperti sebelumnya.

Oleh kerana itu, adalah amat penting jika si ibu dapat meneruskan amalan berpantang seperti mengurut, bertungku mahupun memakan jamu sebelum kembali melakukan rutin harian mereka.

Ia bukan sahaja memastikan bentuk badan kembali asal, tetapi juga dapat memulihkan sistem peranakan seseorang wanita.

"Dengan rawatan yang diikuti, ia bukan sahaja dapat menghilangkan tekanan, bahkan sepanjang tempoh itu juga tubuh dapat dimanja," ujarnya yang mempunyai 30 tahun pengalaman dalam bidang urutan.

Tegasnya lagi, amalan berpantang selepas bersalin bukan sahaja menitik beratkan soal pemakanan ibu semata-mata tetapi juga merangkumi penjagaan tubuh badannya secara luaran dan dalaman.

Selain menjaga makan dan minum, proses mengembalikan kesegaran tubuh juga amat penting kerana seorang ibu perlu sentiasa sihat semasa menjaga bayi mereka dan cukup kuat untuk bekerja semula selepas habis berpantang.

Namun kini, ramai yang menganggap amalan berpantang tidak lagi penting dan dianggap remeh.

Malah ada yang menganggap amalan berpantang hanyalah sesuatu yang merugikan.

Tidak dinafikan katanya, amalan-amalan berpantang semakin sukar untuk diterapkan memandangkan faktor mendapatkan seorang penjaga yang berpengalaman dan juga penjagaan yang rumit.

''Berbanding dahulu, mereka begitu mengharapkan bantuan penjagaan daripada si ibu sepanjang tempoh berpantang . Ini kerana si ibu lebih mendalami selok-belok amalan dan budaya berpantang mengikut tradisi turun-temurun.

''Kini, faktor perubahan masa, kesihatan dan usia si ibu mempengaruhi urusan penjagaan si anak. Hakikatnya hari ini mereka terpaksa melupakan amalan tradisi turun-temurun, sebaliknya melakukan perkara-perkara yang dianggap penting sahaja," katanya.

Jelas Oomi lagi, menyedari kekurangan tersebut, dia mengambil inisiatif untuk berkongsi pengetahuan dengan ibu-ibu muda untuk merawat diri dalam tempoh berpantang.

''Biasanya tiga hari selepas bersalin saya mengambil tanggungjawab memberikan khidmat urutan kepada ibu-ibu yang bersalin,'' ujarnya yang turut menjadi tukang urut di kalangan orang kenamaan.

Selain mengurut ibu yang baru bersalin tegasnya, bertangas dengan rempah ratus juga turut dijadikan amalan dalam rawatan yang diamalkan.

Malah wanita yang berasal dari Narathiwat Thailand ini memberitahu, si ibu juga turut diberikan pilis dan cara urutan bagi meletakkan batu merian ke tempat asal.

Selain amalan tersebut, si ibu juga turut diberikan jamu yang dibuat sendiri dengan ramuan-ramuan tersendiri bagi menguatkan lagi kesihatan dalaman seseorang wanita.

Katanya lagi, rawatan tersebut biasanya dilakukan di rumah pelanggan bagi memberikan keselesaan sepenuhnya kepada mereka.

Bagaimanapun, ada juga pelanggan yang datang ke rumahnya yang terletak Kota Damansara untuk mendapatkan rawatan tersebut.

Cerita Oomi lagi, dia mula memberi rawatan dalam urutan ini sejak kecil lagi selepas mewarisi kepakaran tersebut dari nenek moyangnya.

''Kalau urat tegang atau bersimpul, kuis dengan jari pun akan terasa sakit. Kalau urat sudah lembut, tekan kuat-kuat pun tak ada apa-apa," jelasnya berkongsi pengalaman.

''Alhamdulillah, dengan jari ini, saya dapat berkongsi pengetahuan dan mengembalikan kesihatan wanita

''Ia adalah momen yang sangat membahagiakan apabila melihat pelanggan kembali anggun dan sihat selepas diurut,'' ujarnya penuh bangga.

Ceritanya, amalan penting semasa berpantang juga adalah bertungku.

Ini kerana amalan bertungku jika diamalkan selalu boleh membantu mengempiskan perut, menghilangkan garis kesan pembedahan untuk mereka yang baru bersalin dan memulihkan rahim yang jatuh atau 'simpan' batu merian.

Menurut Oomi, rawatan bertungku batu herba ini menggunakan batu sungai yang dipanaskan terlebih dahulu selama setengah jam hingga satu jam di atas api yang sederhana.

Kemudian tungku itu perlu dibalut dengan kain yang telah dilapik dengan daun-daun termasuklah mengkudu dan diletak di atas batu .

''Biasanya, proses bertungku itu dilakukan sambil berbaring dan tungku ditekan perlahan-lahan pada sekitar perut, pangkal paha, berhampiran ari-ari, kaki, telapak kaki dan tumit. Ia dilakukan selama satu jam dari bahagian hadapan hingga ke belakang.

''Jika dilakukan semasa berpantang, darah nifas akan mengalir dengan lancar selepas bertungku. Justeru bertungku adakala diteruskan hingga keluar darah terakhir berwarna seakan-akan putih keperangan,'' terangnya bersungguh .

Katanya, selain memberikan perkhidmatan urutan bagi ibu bersalin dalam pantang urutan tradisional Melayu juga turut diamalkan.

''Ada yang datang minta diurut tangan yang terseliuh, kaki terkehel dan bermacam-macam masalah lagi,'' ujarnya lagi.

Katanya, bahan yang digunakan untuk mengurut cuma minyak yang diadun sendiri dengan ramuan yang tersendiri

Berkongsi pengalaman lagi, Oomi memberitahu, urutan dengan tangan amat berbeza daripada urutan menggunakan mesin.

''Dengan menggunakan tangan, kita akan dapat mencari atau merasa sesuatu urat atau otot bersimpul yang menyebabkan kesakitan kepada pesakit.

''Jadi, melalui urutan tradisi sebegini, kebarangkalian untuk pesakit sembuh adalah lebih tinggi. Namun, ia perlu diurut beberapa kali mengikut kesesuaian," katanya serius.

Atasi keputihan wanita

Saya pernah beberapa kali mengalami jangkitan saluran kencing dan masalah wanita seperti keputihan berlebihan. Walaupun ia berkesan selepas rawatan, namun ia kerap kali berulang. Adakah suplemen tambahan yang selamat untuk meringankan masalah ini?

Jawapan 



 
 

Antara langkah yang boleh diamalkan untuk mengurangkan risiko jangkitan adalah meningkatkan amalan kebersihan termasuk pakaian dalam wanita, kebersihan bahagian sulit sebelum dan selepas hubungan intim serta mengurangkan pengambilan makanan bergula dan manis. Pengambilan air putih yang banyak juga digalakkan untuk melancarkan pembuangan air kencing sekali gus menyingkirkan kekotoran. 

Banyak kajian klinikal menunjukkan bahawa pengambilan probiotik memberi kesan positif dalam menangani masalah ini. Antaranya adalah probiotik dari strain Lactobacillus GR-1 and Lactobacillus RC-14 yang didapati terbukti secara klinikal membantu memulihkan mikroflora dalam faraj yang seterusnya mengurangkan masalah urogenital wanita seperti jangkitan pada saluran kencing, jangkitan kulat dan yis. Pengambilan secara berterusan akan membantu mengelak jangkitan daripada berulang.

--- UTUSAN MALAYSIA

Panduan penjagaan bayi jaundis


BAYI jaundis perlu didedahkan kepada cahaya bililight sebagai rawatan. – Gambar hiasan


BAYI yang baru lahir berisiko menghidap demam kuning atau dikenali sebagai jaundis, sama ada bersifat normal atau patologi.

Lebih kurang 50 ke 60 peratus bayi yang lahir cukup bulan mengalami jaundis pada minggu pertama hingga ke minggu kedua selepas dilahirkan.

Jaundis juga biasanya berlaku kepada bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan.

Pada sesetengah bayi, ia berlaku hanya sekejap, tidak merbahaya dan akan hilang sendiri atau dengan rawatan yang ringkas . Tetapi dalam kes-kes tertentu, ia boleh menjadi serius dan perlu diberi perhatian.

Jaundis boleh dikesan dengan melihat tanda-tanda seperti bahagian putih mata dan juga kulit yang bertukar warna kekuningan.

Kesan itu dapat dilihat dengan jelas apabila ditekan. Ia bermula dari bahagian kepala dan semakin menurun ke bahagian bawah badan. Bayi jaundis juga akan kerap tidur.

Biasanya bayi yang lahir mengalami warna kekuningan ini disebabkan pigmen kuning atau lebih dikenali dengan nama bilirubin yang meningkat dalam darah.

Bilirubin ini berlaku akibat pemecahan sel-sel darah merah sewaktu bayi lahir. Ketika bayi dalam kandungan, bilirubin dibuang melalui plasentra dan seterusnya oleh organ. Hati dari ibu akan diolah menjadi bilirubin untuk dibawa ke usus dan seterusnya dibuang melalui proses tinja.

Namun setelah bayi lahir, proses tadi akan dilakukan oleh hati bayi itu sendiri. Disebabkan fungsi hati belum sempurna, proses itu lebih lambat menyebabkan bilirubin tetap tinggi dalam bayi.

Bilirubin inilah yang masuk ke jaringan kulit sehingga bayi kelihatan kuning pada keseluruhan tubuh dan matanya.

Bagi bayi normal, setelah tiga atau empat hari kelahirannya, kadar bilirubin akan menurun perlahan-lahan seiring dengan pertambahan fungsi hatinya.

Biasanya bila umur mencecah tujuh hari, bayi sudah tidak kelihatan kekuningan lagi. Inilah penyakit kuning yang bersifat fisiologi atau normal dan tidak berbahaya bagi bayi.

Namun, berbeza pula bagi yang menghidap penyakit kuning patologi. Ia timbul lebih cepat dan biasanya 24 jam setelah kelahiran dan peningkatan kadar bilirubin di dalam darah bayi juga berlaku dengan lebih cepat.

Jenis penyakit kuning seperti ini boleh disebabkan oleh jangkitan pada bayi, ketidaksesuaian jenis darah ibu dan bayi, serta kes yang jarang berlaku disebabkan kekurangan enzim G6PD (glukosa 6 Phosphate Dehidrogenase). Enzim ini terdapat di dalam dinding sel darah merah yang berfungsi untuk mencegah sel-sel darah merah.

Apa perlu dilakukan

Pemeriksaan akan dibuat dengan menekan kulit bayi atau mengambil darah untuk mengukur tahap bilirubin.

Untuk memeriksa sendiri, bagi kulit bayi berkulit cerah, boleh diletakkan di tempat banyak cahaya atau lampu. Tekankan kulit secara lembut dengan jari anda di bahagian hidung, dahi atau dada, jika terdapat kesan kekuningan apabila jari diangkat bermakna bayi anda mengalami jaundis.

Bagi bayi berkulit gelap, boleh periksa gusi atau mata putih.

Biasanya ia tidak memerlukan rawatan. Jika memerlukan rawatan, ia dirawat menggunakan phototerapi iaitu menggunakan cahaya. Bayi dibogelkan, mata ditutup dan diletakkan di bawah cahaya bililight.

Jika ditahap yang terlalu tinggi, penukaran darah akan dilakukan.

Kebanyakan kes jaundis ini tidak memerlukan rawatan phototerapi. Berikut disenaraikan langkah yang boleh dibuat untuk mengelak atau merawatnya.

lMenyusukan bayi dari awal dan dengan kerap.

Kolostrum akan bertindak sebagai laksatif dan kekerapan membuang najis akan merendahkan tahap bilirubin.

lElakkan mengambil air tambahan. Hanya dua peratus bilirubin keluar melalui air kencing dan 98 peratus keluar melalui najis. Kolostrum dan susu yang mengandungi lemak akan menstimulasikan pergerakan membuang air besar. Jika bayi anda kenyang dengan air dia akan kurang menyusu.

lGalakan bayi anda berjaga dan menyusu setiap dua jam.

lJika bayi tertidur ketika menyusu badan dan membuang air besar kurang dari tiga kali sehari, cuba perah susu anda menggunakan tangan atau pam dan beri kepada bayi anda.

lDedahkan kepada cahaya secara tidak terus kerana kulit bayi sensitif. Buka pakaian serta lampin dan letak di dalam bilik yang ada banyak cahaya.


--- UTUSAN MALAYSIA