Pages

Tuesday, March 16, 2010

Keguguran dan mati fetus ditakuti ibu mengandung (Utusan Malaysia)


Oleh FATEN SYAMIMIE ABDUL AZIZ


Kata orang, anak ialah sinar hidup untuk ibu dan bapa. Lebih-lebih lagi bagi pasangan yang baru menimang cahaya mata. Ada yang beranggapan, lagi ramai anak lagi bertambah rezeki.

Bagi si ibu, mereka sanggup berkorban jiwa dan raga demi memastikan anak yang dikandung selama sembilan bulan sentiasa sihat dan selamat. Ia dijaga bagai menatang minyak yang penuh.

Tapi, bagaimana pula dengan nasib mereka yang tidak ditakdirkan untuk memiliki anak. Menyentuh saja soal tiada anak, fikiran mula menular tentang kemandulan.
Sebenarnya, tidak semua pasangan yang tidak mempunyai anak disebabkan oleh kemandulan. Ada segelintir daripada mereka pernah mengandung tetapi mengalami keguguran atau kematian fetus.

Keguguran kadangkala dipanggil kegagalan kehamilan, biasa berlaku sebelum minggu ke-20 kehamilan terjadi.

Para penyelidik menganggarkan bahawa sebanyak 15 peratus wanita yang tahu mereka hamil kemungkinan mengalami keguguran.

Terdapat banyak perbezaan di mana sebab-sebab berlakunya keguguran. Ada sesetengahnya diketahui dan setengah lagi tidak diketahui.

Apabila berlakunya keguguran, ini tidak bermakna seseorang wanita itu tidak boleh kembali hamil atau wanita itu tidak akan dapat melahirkan anaknya dengan normal.
Beberapa faktor yang menyumbang ke arah keguguran telah dikenalpasti.

Antaranya, berpunca daripada kromosom yang tidak normal di dalam fetus dalam trimester yang pertama.

Ini biasanya berpunca daripada masalah sperma atau telur yang mencegah fetus daripada membesar.

Semasa trimester kedua, akan berlaku masalah-masalah berkaitan dengan serviks dan uterus yang akan menyumbang kepada keguguran.

Wanita yang mengalami gangguan yang dinamakan Polycystic Ovary Syndrome (PCOS) adalah tiga kali lebih berkemungkinan untuk mengalami keguguran sepanjang kehamilan pada bulan-bulan awal kehamilan berbanding dengan wanita yang tidak mengalami sindrom ini.

PCOS ialah gangguan endokrin yang berlaku di kalangan kebanyakan wanita tidak kira bangsa. Ia juga adalah gangguan hormon dan paling biasa di kalangan wanita umur reproduktif dan adalah satu sebab kemandulan yang utama.

Kajian National Institute of Child Health and Human Development (NICHD) mendapati, wanita yang mengalami PCOS sering mengalami masalah untuk menggunakan insulin bagi mendapatkan tenaga.

Rintangan insulin ini sering berlaku kepada seseorang yang menghidap diabetes.
Untuk merawat rintangan insulin ini, penyelidik telah mempreskripsikan sejenis dadah yang bernama Metaformin.

Apa yang mereka temui ialah Metaformin bukan sahaja mengurangkan rintangan insulin bahkan ia juga membawa perubahan pada lapisan rahim yang boleh membantu wanita dengan PCOS mengurangkan risiko keguguran sepanjang trimister mereka yang pertama.

Biasanya, wanita yang gugur pada awal kehamilannya perlu melalui satu prosedur yang dinamakan cuci rahim atau Dilatation and Curettage (D&C) untuk membuang tisu tetap di dalam uterus.

Selain keguguran, ramai juga golongan wanita yang mengalami kematian fetus. Kematian ini terjadi selepas minggu ke-20 kehamilan berlaku dan terjadi atas sebab-sebab tertentu. Dalam sesetengah kes, si ibu dapat mengagak terdapat kekurangan dalam pergerakan atau penendangan oleh fetus.

Selain itu, kematian fetus juga boleh dikesan dengan menggunakan mesin ultrasound yang menggunakan gelombang-gelombang bunyi untuk memperlihatkan gambaran fetu, ibu-ibu juga dapat mengetahui kedudukan fetus di dalam perut.

Ikat fallopio elak hamil





SEORANG surirumah di kota Manila, Jasmin Arroya, menyedari lebih
besar sesebuah keluarga itu, maka lebih besar juga potensi mereka
terperangkap dalam jurang kemiskinan.

"Saya paling merasainya apabila kami makan bersama makanan di atas
meja tidak mencukupi," kata Jasmin, 33, ibu kepada enam orang anak yang
mengikat tiub fallopio untuk mengelak kehamilan.

"Saya terpaksa membuat keputusan tersebut kerana kehidupan sekarang
begitu menyukarkan. Tambahan pula sumber pendapatan kami terlalu
sedikit."

Pencegah kehamilan tiruan sering menjadi tabu di negara yang
berpegang kuat dengan ajaran Roman Katholik. Dengan kadar kelahiran
antara yang tertinggi di dunia, perkembangan populasi yang semakin
bertambah menjadi isu hangat, terutamanya apabila jutaan rakyat miskin
berusaha keras untuk mencari sesuap nasi ketika kenaikan harga makanan.

Krisis makanan global tahun ini, menyaksikan harga barangan asas
komoditi seperti beras melonjak naik sekali gus membebankan jutaan
golongan miskin di Filipina.

Lebih 40 peratus penduduknya hidup dengan pendapatan kurang AS$2 (RM6.40) sehari.

Ditambah dengan pergolakan politik dan situasi ekonomi yang lembap,
maka terdapat pihak cuba meluluskan draf undang-undang yang memaksa
kerajaan untuk mempromosikan kaedah perancangan keluarga tiruan.
Seramai 27 orang pakar ekonomi termasuk empat bekas setiausaha
perancang ekonomi dan seorang bekas setiausaha bajet, telah
menandatangani usul untuk menyokong draf undang-undang tersebut.

"Kekurangan polisi terhadap populasi penduduk yang tepat
membayangkan kelemahan serius dalam promosi perkembangan ekonomi jangka
panjang dan mengurangkan kadar kemiskinan," kata Ernesto Pernia,
profesor ekonomi di University of Philippine dan salah seorang daripada
27 pakar ekonomi yang menandatangani usul tersebut.

HAMPIR separuh daripada 3.1 juta kehamilan yang berlaku setiap tahun di Asia Tenggara tidak terancang.


Beliau membandingkan Filipina dengan Thailand. Pada tahun 1975,
kedua-dua negara mempunyai saiz populasi penduduk yang sama iaitu 41
hingga 42 juta. Kemudian Bangkok melancarkan usaha besar-besaran ke
arah perancangan keluarga.

Kini, populasi penduduk Thailand sekitar 64 juta dan mereka juga
merupakan pengeksport beras utama dunia. Sementara itu, Filipina dengan
populasi penduduk seramai 90 juta pula adalah pengimport hasil bijirin
utama dunia.

Thailand mempunyai pendapatan kasar tahunan per kapita sebanyak
AS$7,880 (RM26,260) pada 2007 manakala Filipina hanya AS$3,730
(RM12,434).

"Kajian kami menunjukkan bahawa jika Filipina mengikut langkah
Thailand dalam perkembangan populasi penduduk antara tahun 1975 dan
2000, pendapatan per kapita mungkin sekurang-kurangnya mencapai 25
peratus lebih tinggi daripada sekarang dan hanya terdapat kurang 5 juta
penduduk miskin," jelas Pernia.

Bagaimanapun, pihak gereja menentang habis-habisan perancang
keluarga tiruan kerana menganggap ia sebagai penghinaan kepada agama.
Malah pihak gereja juga telah mengumumkan draf undang-undang tersebut
sebagai perkara moral yang tidak boleh diterima dan memberi amaran
kepada ahli politik.

Menurut fakta, hampir separuh daripada 3.1 juta kehamilan yang
berlaku setiap tahun di Asia Tenggara tidak dirancang. Lebih kurang
setengah juta pula adalah kehamilan sebelum berkahwin dan disebabkan
itu tindakan menggugurkan kandungan sering dilakukan.

Ketika sebahagian kecil masyarakat kelas pertengahan di Filipina
menggunakan kaedah perancang keluarga, jutaan wanita miskin tidak
berkemampuan melakukannya. Kos bekalan pil perancang untuk tempoh
sebulan bernilai sekitar AS$0.86 (RM2.80), lebih kurang separuh
daripada pendapatan harian hampir setengah daripada populasi penduduk.

Kekurangan maklumat yang tepat dan kemudahan kaedah pencegah
kehamilan juga turut menjadi masalah. Kerajaan tempatan ketiadaan
sumber wang yang mencukupi untuk menyediakan pil dan kondom di
klinik-klinik awam. Selain itu, pihak gereja juga membantah tindakan
tersebut.

Malah, pegawai yang menentang gereja adakalanya turut menerima
risiko dikenakan tindakan. Joseph Juico, anggota Majlis Perbandaran di
Quezon City, Manila contohnya, dikecam kerana memperkenalkan program
perancang keluarga di sekolah.

"Beberapa paderi dan menteri memanggil saya penggugur kandungan. Di
samping itu, paling teruk mereka turut menggelar saya sebagai pekerja
syaitan," ujar Juico.

Paderi Katholik berkata, kaedah perancang keluarga semula jadi
seperti mengelak daripada melakukan hubngan seks apabila wanita dalam
keadaan subur adalah paling berkesan.

Namun, ia sebenarnya sukar untuk diikuti kerana ramai pasangan di
Filipina hanya bertemu sekali atau dua kali sebulan akibat tuntutan
kerja.

Justeru itu, kekurangan kaedah pencegah kehamilan tiruan bermakna
bahawa ramai wanita terpaksa mengambil keputusan untuk menggugurkan
kandungan kerana bimbang mereka tidak mampu menyara anak yang bakal
lahir itu lantaran kesempitan hidup yang dialami.

Tanpa polisi kawalan kehamilan yang efektif, Filipina merupakan
negara ke-12 yang memiliki populasi penduduk paling ramai di dunia.
Dijangkakan populasi penduduk negara itu akan berkembang melebihi 140
juta menjelang 2040. - Reuters

Tuesday, March 9, 2010

Pelbagai risiko pembedahan Caesarean

Soalan

ISTERI saya baru-baru ini bersalin anak sulung secara pembedahan.

Apakah kesan sampingan bagi wanita yang bersalin secara pembedahan? Ada yang mengatakan jika isteri bersalin secara pembedahan, bilangan anak yang boleh dilahirkan setakat tiga orang sahaja.

Adakah itu benar?

RADIN,
Kuala Lumpur


Jawapan 

BERIKUT adalah antara beberapa panduan am berkaitan kesan sampingan bersalin pembedahan Caesarean.

  • Bersalin secara pembedahan mungkin membabitkan lebih pendarahan berbanding bersalin biasa.
  • Kadangkala ia boleh menyebabkan rahim terpaksa dibuang untuk menghentikan pendarahan.

    Isteri anda mungkin mengalami lemah badan atau kelesuan selepas bersalin.

    Keadaan itu lebih ketara berbanding jika dia bersalin biasa.

    Lazimnya, doktor akan mengambil langkah proaktif untuk mengelakkan pendarahan berlebihan sewaktu dan selepas bayi dilahirkan.

    Pada hari kedua selepas pembedahan, sedikit sampel darah isteri anda mungkin diambil untuk mengetahui paras hemoglobin darahnya.

    Isteri anda juga mungkin sudah dibekalkan ubat pil zat besi untuk memulihkan paras hemoglobinnya.

  • Jangkitan kuman boleh berlaku sama ada di dalam rahim (dinamakan endometritis) atau pada bahagian kulit (lebih kerap disebut wound breakdown) atau ke dalam aliran darah (septisemia).
  • Lazimnya, doktor memberikan antibiotik terus ke dalam aliran darah (intravena) sejurus sebelum pembedahan bermula dan diteruskan beberapa dos kemudian untuk mengelakkan risiko ini.
  • Penyebab isteri terpaksa menjalani pembedahan.Kebanyakan penyebab (contohnya bayi lemas) tidak berkait dengan risiko untuk berulang pada kehamilan akan datang.

    Penyebab seperti uri di bawah, rahim berkembar (bikornuat), tulang pelvis atau punggung sempit pula mungkin lebih berisiko untuk bersalin secara pembedahan pada kehamilan akan datang.
    Secara prinsipnya, setiap pasangan berhak membuat keputusan mengenai bilangan anak yang diingini, namun biarlah setelah mendapat penerangan doktor mengenai risiko meneruskan bilangan kehamilan itu.
    Berulang kali menjalani pembedahan Caesarean meningkatkan risiko rahim koyak atau lebih dikenali sebagai uterine rupture.

    Ia bukan saja berlaku pada hari sakit bersalin tetapi boleh berlaku pada bila-bila masa terutama setelah kandungan mencapai tujuh bulan.
    Walaupun risiko ini bukanlah 100 peratus (risikonya dilaporkan antara satu hingga dua peratus), namun jika dibandingkan dengan wanita yang baru sekali saja menjalani pembedahan Caesarean, risikonya meningkat sebanyak sehingga empat kali ganda. Apabila ia berlaku, keadaannya sangat mencemaskan dan membahayakan nyawa wanita, apatah lagi bayi dikandungnya.

    - HARIAN METRO

  • Kandungan kembali songsang

    Soalan

    KANDUNGAN saya masuk 21 minggu dan saya dijangka bersalin pada Mac atau April depan.

    Ketika imbasan, kepala bayi berada di atas (songsang). Ia dibetulkan bidan, tetapi kandungan kembali songsang. Apakah pendapat dan nasihat doktor?

    INSAN BIMBANG,
    Kuala Lumpur.

    Jawapan


    PADA usia 21 minggu (lima bulan) kehamilan, kira-kira 50 peratus wanita mengalami kedudukan janin menyongsang.

    Sewaktu kandungan memasuki 28 minggu pula, peratusan ini berkurangan menjadi sekitar 30 peratus. Ini adalah perkara biasa.

    Kebanyakannya tidak mempunyai masalah, malah hampir semua bertukar kepada kedudukan normal (kepala di bawah) menjelang bulan kelapan sehingga bayi dilahirkan.

    Bagi sebahagian kecil wanita, kedudukan janin menyongsang disebabkan keabnormalan janin itu sendiri atau kelainan pada keadaan atau ruang dalaman rahim seperti rahim bertanduk (bikornuat) dan seumpamanya.

    Keadaan kelainan rahim mungkin dapat dikesan pada awal kehamilan atau sebelumnya. Bagi sifat fizikal janin pada usia kandungan anda kini juga, kebanyakan doktor akan melakukan imbasan menyeluruh ke atas struktur anggota luar dan dalaman janin sama ada normal atau tidak.

    Ultrabunyi ini juga lazimnya dilengkapi dengan teknik Doppler dan imej tiga dimensi dengan paparan atau rakaman video (empat D). Songsang juga boleh disebabkan saiz bayi, kedudukan uri, kembar, kandungan air ketuban yang berkurangan atau berlebihan dan seumpamanya.

    Saya tidak menggalakkan urutan dilakukan kerana tekanan ke dalam rahim boleh menyebabkan uri tertanggal sebahagiannya atau keseluruhannya, lebih-lebih lagi jika uri berada betul-betul di hadapan (tempat tangan urutan diletakkan).

    Urutan membetulkan kedudukan janin menyongsang juga ada dilakukan dalam perubatan moden sekitar usia kandungan memasuki sembilan bulan, ia dinamakan external cephalic version (ECV), tetapi ia dilakukan di hospital dengan kelengkapan atau keadaan bersedia untuk melakukan pembedahan kecemasan Caesarean jika berlaku komplikasi.

    Sekiranya ia gagal bertukar kedudukan atau bertukar semula kepada songsang, pembedahan Caesarean adalah pilihan lebih baik untuk mengurangkan risiko bahaya kepada janin dan ibu.

    Penyebab kedudukan songsang (jika ada) dapat diketahui daripada doktor yang melakukan pembedahan (mengenai keadaan rahim dan uri anda) serta doktor kanak-kanak yang memeriksa bayi anda. Pun begitu, dalam kebanyakan kes bagi ibu sulung, ia tiada penyebab.

    --- HARIAN METRO

    Risiko kehamilan wanita obes (Kosmo)


    AMBIL makanan yang berkhasiat sebagai amalan hidup sihat.


    BERAT badan berlebihan atau obesiti merupakan masalah paling merungsingkan golongan wanita. Kegemukan bukan sahaja menjejaskan kesihatan, malah ia juga menyebabkan seorang wanita itu hilang keyakinan diri.

    Bagi wanita obes yang merancang untuk hamil pula, golongan ini cenderung untuk menghadapi beberapa risiko ketika hamil dan juga selepas bersalin.

    Antara risiko itu termasuklah keguguran malah boleh membahayakan nyawa ibu dan komplikasi lain.

    Malah, kajian yang dijalankan oleh Universiti Michigan di Amerika Syarikat mendapati wanita yang mengalami berat badan berlebihan mempunyai peluang hamil kira-kira 28 peratus berbanding wanita yang mempunyai berat badan normal.

    Dalam pada itu, menurut Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Damai Service Hospital, Dr. Mahes Sittampalam, statistik itu turut merangkumi wanita obes yang mengandung secara normal serta yang mengandung melalui bantuan rawatan kesuburan.

    Tambah Mahes lagi, akibat ketidakseimbangan hormon bagi wanita obes yang hamil, mereka juga cenderung untuk mengalami keguguran.

    "Kadar morbiditi pada bayi dalam kandungan serta ibu mengandung juga meningkat akibat penyakit seperti tekanan darah tinggi yang cenderung berlaku pada wanita obes," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

    Selain itu, penyakit diabetis sewaktu hamil juga merupakan kejadian yang biasa berlaku kepada wanita obes. Penyakit itu akan meningkatkan lagi risiko kecacatan bayi dalam kandungan.

    Lebih menyedihkan lagi, kajian juga mendapati 30 hingga 40 peratus bayi yang dilahirkan itu mempunyai penyakit yang melibatkan masalah organ seperti otak, jantung dan sistem penghadaman.

    Terang Mahes, wanita obes turut berisiko mendapat komplikasi sewaktu pembedahan bersalin. Antaranya termasuklah risiko jangkitan kuman pada luka pembedahan dan pengumpalan darah.

    "Untuk tempoh jangka panjang pula, bayi yang dilahirkan wanita obes mempunyai dua kali ganda risiko berdepan masalah berat badan berlebihan dan menghidap penyakit diabetes," ujarnya.

    Rancang kehamilan

    Mengenai kehamilan bagi wanita obes, Mahes menjelaskan, beberapa langkah boleh diambil untuk memastikan mereka berdepan dengan risiko yang lebih rendah.

    Mahes menyarankan wanita obes supaya menurunkan berat badan terlebih dahulu.

    Langkah itu perlu bagi mengelakkan komplikasi kepada ibu dan bayi dalam kandungan, malah ia membantu mengelakkan risiko semasa bersalin.

    "Apabila anda bersedia untuk hamil, anda perlu terlebih dahulu merancang pemakanan yang seimbang.

    "Anda perlu mengambil makanan yang banyak mengandungi kekacang, sayuran, buah-buahan, makanan berprotein tinggi dan makanan yang rendah lemak.

    "Anda juga boleh mengamalkan latihan senaman seperti berjoging, berenang atau kelas senaman untuk wanita hamil," ujarnya.

    Bagaimanapun, Mahes menegaskan, apabila wanita mula melakukan senaman mereka dinasihatkan mengambil air masak dalam kuantiti yang banyak untuk mengelak dehidrasi.

    Pemeriksaan selepas hamil

    Sementara itu, bagi wanita yang sudah hamil pula, pemeriksaan antenal yang kerap adalah penting untuk memantau perkembangan bayi dan ibu.

    "Pemeriksaan itu juga adalah langkah awal untuk mengesan masalah kesihatan lain pada bayi dalam kandungan," ujar Mahes.

    Pada peringkat kehamilan juga, wanita obes yang ingin melakukan senaman atau aktiviti fizikal wajar mendapat nasihat doktor tentang bentuk senaman yang sesuai pada fasa itu.

    Ada ketikanya, apabila anda sudah mengandung aktiviti berjoging sudah tidak lagi digalakkan kerana ia meningkat risiko kecederaan. Mungkin doktor boleh mencadangkan aktiviti rendah risiko seperti menggunakan peralatan seperti basikal atau crossramp.

    Langkah itu penting supaya wanita obes yang sudah mengandung mencapai kehamilan yang sihat dengan mengekalkan tahap normal gula serta tekanan darah.


    PELBAGAI penyakit yang dihidapi wanita obes boleh membahayakan kesihatan bayi dalam kandungan.


    Berikut adalah langkah-langkah yang boleh diambil oleh ibu hamil bagi memastikan pertambahan berat badan sepanjang tempoh kehamilan tidak keterlaluan dan berbahaya.

    1. Mengikuti sesi kaunseling nutrisi. Ini penting kerana amalan pemakanan yang betul dapat menyelamatkan ibu hamil daripada berhadapan dengan masalah berat badan berlebihan.

    2. Melakukan ujian lebih awal untuk diabetes dan berunding dengan pakar anestesiologis mengenai pemberian sedatif yang selamat sebelum tarikh kelahiran anak. Ini penting sekiranya wanita hamil memerlukan pembedahan caesarean.

    3. Jika seseorang wanita berhasrat meningkatkan tahap kesihatan sendiri, waktu hamil adalah waktu yang paling sesuai.

    Ini dijelaskan oleh Dr. Laura Riley dari Hospital Awam Massachusetts yang menulis buku mengenai garis panduan ibu hamil terbitan Kolej Obstetrik dan Ginekologi, Amerika Syarikat.

    Apabila ibu hamil, dia bukan sahaja merancang pemakanannya, bahkan ia mungkin titik awal untuk dia berhenti merokok demi kesihatan bayinya.