Pages

Monday, September 6, 2010

Rancang perjalanan balik kampung (Utusan Malaysia)

ARKIB : 02/09/2010


Bawa mainan si manja supaya dapat menenangkannya ketika dalam perjalanan.


PERJALANAN balik kampung atau melancong bersama bayi buat kali pertama bukanlah sesuatu yang mudah. Perancangan dan persediaan awal sememangnya bagus, tetapi jangan jangka bahawa semuanya akan berjalan lancar.

Sekiranya mempunyai masalah merancang perjalanan balik kampung bersama bayi pada raya kali ini, di bawah beberapa panduan bagi mengurangkan kebimbangan anda.

Menurut sebuah buku penjagaan anak, Johnson's Mother and Baby panduan asas yang membolehkan perjalanan tidak menyusahkan ialah komunikasi.

Sama ada anda sedang melawat ibu bapa, mertua, atau rakan, pastikan anda memberitahu rancangan serta keperluan anda terlebih dahulu. Antara perkara yang penting termasuklah tempat penginapan, keselamatan tempat tersebut bagi kanak-kanak, penjagaan anak, peraturan di rumah serta rancangan harian.

Buku tersebut turut menasihatkan agar membawa barang-barang asas. Fikirkan apa yang perlu bayi anda makan dan pakai, serta di mana tempat dia tidur, bagaimana cara tidurnya dan bagaimana menguruskan penukaran lampin.

Jangan lupa untuk membenarkan si kecil berehat buat seketika setelah sampai ke destinasi. Walaupun orang yang tersayang di kampung menantikan kehadiran anda dan si kecil, ingatlah bahawa bayi anda baru sahaja mengalami perjalanan jauh buat kali pertama.

Buku Asian Parenting Today pula menyebut tentang kepentingan mempunyai senarai semak. Pada malam sebelum bertolak, simpan dan susun semua barang tahan lama dalam kereta. Barang makanan seperti susu dan lain-lain harus tersedia dalam bekas supaya boleh dibawa dengan mudah.

Simpan keperluan utama dalam beg yang lain dan mudah dicapai - seperti beg lampin. Lampin, krim ruam, tisu lembap, susu, snek, beg plastik dan perkakas makanan harus disimpan di tempat yang mudah untuk diambil.

Sentiasa sediakan beberapa baju persalinan bimbang makanan tertumpah dan sebagainya.

Rancang waktu bertolak yang membolehkan bayi mendapat tidur hariannya seperti bertolak pada lewat petang agar bayi dapat tidur sepanjang malam.

Lebih lama bayi tidur sepanjang perjalanan itu, lebih baik. Sekiranya memandu pada waktu siang, berhenti pada waktu-waktu tertentu agar bayi dapat menyusu, berehat serta menikmati udara segar di luar kenderaan.

Sediakan mainan dan muzik bagi menenangkan dan menghiburkan bayi.

Buku First Time Parents mengatakan sekiranya bayi diberikan susu formula, pastikan anda boleh memanaskan susu dalam kereta (terdapat banyak produk di pasaran bagi tujuan ini).

Jangan lupa untuk membawa susu formula, botol dan air yang secukupnya. Namun sekiranya memberi susu badan, ia jadi lebih mudah kerana tidak perlu membawa apa-apa barang tambahan.

Rancang untuk berhenti sebentar apabila bayi kelaparan (rehat ini juga diperlukan oleh ibu bapa) Sebagai alternatif, cuba susukan bayi tatkala dia masih di tempat duduk bayi.

Dengan adanya seorang dewasa di bahagian belakang kereta boleh membantu bayi menjadi lebih tenang dan gembira.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.