Tuesday, March 16, 2010
Ikat fallopio elak hamil
SEORANG surirumah di kota Manila, Jasmin Arroya, menyedari lebih
besar sesebuah keluarga itu, maka lebih besar juga potensi mereka
terperangkap dalam jurang kemiskinan.
"Saya paling merasainya apabila kami makan bersama makanan di atas
meja tidak mencukupi," kata Jasmin, 33, ibu kepada enam orang anak yang
mengikat tiub fallopio untuk mengelak kehamilan.
"Saya terpaksa membuat keputusan tersebut kerana kehidupan sekarang
begitu menyukarkan. Tambahan pula sumber pendapatan kami terlalu
sedikit."
Pencegah kehamilan tiruan sering menjadi tabu di negara yang
berpegang kuat dengan ajaran Roman Katholik. Dengan kadar kelahiran
antara yang tertinggi di dunia, perkembangan populasi yang semakin
bertambah menjadi isu hangat, terutamanya apabila jutaan rakyat miskin
berusaha keras untuk mencari sesuap nasi ketika kenaikan harga makanan.
Krisis makanan global tahun ini, menyaksikan harga barangan asas
komoditi seperti beras melonjak naik sekali gus membebankan jutaan
golongan miskin di Filipina.
Lebih 40 peratus penduduknya hidup dengan pendapatan kurang AS$2 (RM6.40) sehari.
Ditambah dengan pergolakan politik dan situasi ekonomi yang lembap,
maka terdapat pihak cuba meluluskan draf undang-undang yang memaksa
kerajaan untuk mempromosikan kaedah perancangan keluarga tiruan.
Seramai 27 orang pakar ekonomi termasuk empat bekas setiausaha
perancang ekonomi dan seorang bekas setiausaha bajet, telah
menandatangani usul untuk menyokong draf undang-undang tersebut.
"Kekurangan polisi terhadap populasi penduduk yang tepat
membayangkan kelemahan serius dalam promosi perkembangan ekonomi jangka
panjang dan mengurangkan kadar kemiskinan," kata Ernesto Pernia,
profesor ekonomi di University of Philippine dan salah seorang daripada
27 pakar ekonomi yang menandatangani usul tersebut.
HAMPIR separuh daripada 3.1 juta kehamilan yang berlaku setiap tahun di Asia Tenggara tidak terancang.
Beliau membandingkan Filipina dengan Thailand. Pada tahun 1975,
kedua-dua negara mempunyai saiz populasi penduduk yang sama iaitu 41
hingga 42 juta. Kemudian Bangkok melancarkan usaha besar-besaran ke
arah perancangan keluarga.
Kini, populasi penduduk Thailand sekitar 64 juta dan mereka juga
merupakan pengeksport beras utama dunia. Sementara itu, Filipina dengan
populasi penduduk seramai 90 juta pula adalah pengimport hasil bijirin
utama dunia.
Thailand mempunyai pendapatan kasar tahunan per kapita sebanyak
AS$7,880 (RM26,260) pada 2007 manakala Filipina hanya AS$3,730
(RM12,434).
"Kajian kami menunjukkan bahawa jika Filipina mengikut langkah
Thailand dalam perkembangan populasi penduduk antara tahun 1975 dan
2000, pendapatan per kapita mungkin sekurang-kurangnya mencapai 25
peratus lebih tinggi daripada sekarang dan hanya terdapat kurang 5 juta
penduduk miskin," jelas Pernia.
Bagaimanapun, pihak gereja menentang habis-habisan perancang
keluarga tiruan kerana menganggap ia sebagai penghinaan kepada agama.
Malah pihak gereja juga telah mengumumkan draf undang-undang tersebut
sebagai perkara moral yang tidak boleh diterima dan memberi amaran
kepada ahli politik.
Menurut fakta, hampir separuh daripada 3.1 juta kehamilan yang
berlaku setiap tahun di Asia Tenggara tidak dirancang. Lebih kurang
setengah juta pula adalah kehamilan sebelum berkahwin dan disebabkan
itu tindakan menggugurkan kandungan sering dilakukan.
Ketika sebahagian kecil masyarakat kelas pertengahan di Filipina
menggunakan kaedah perancang keluarga, jutaan wanita miskin tidak
berkemampuan melakukannya. Kos bekalan pil perancang untuk tempoh
sebulan bernilai sekitar AS$0.86 (RM2.80), lebih kurang separuh
daripada pendapatan harian hampir setengah daripada populasi penduduk.
Kekurangan maklumat yang tepat dan kemudahan kaedah pencegah
kehamilan juga turut menjadi masalah. Kerajaan tempatan ketiadaan
sumber wang yang mencukupi untuk menyediakan pil dan kondom di
klinik-klinik awam. Selain itu, pihak gereja juga membantah tindakan
tersebut.
Malah, pegawai yang menentang gereja adakalanya turut menerima
risiko dikenakan tindakan. Joseph Juico, anggota Majlis Perbandaran di
Quezon City, Manila contohnya, dikecam kerana memperkenalkan program
perancang keluarga di sekolah.
"Beberapa paderi dan menteri memanggil saya penggugur kandungan. Di
samping itu, paling teruk mereka turut menggelar saya sebagai pekerja
syaitan," ujar Juico.
Paderi Katholik berkata, kaedah perancang keluarga semula jadi
seperti mengelak daripada melakukan hubngan seks apabila wanita dalam
keadaan subur adalah paling berkesan.
Namun, ia sebenarnya sukar untuk diikuti kerana ramai pasangan di
Filipina hanya bertemu sekali atau dua kali sebulan akibat tuntutan
kerja.
Justeru itu, kekurangan kaedah pencegah kehamilan tiruan bermakna
bahawa ramai wanita terpaksa mengambil keputusan untuk menggugurkan
kandungan kerana bimbang mereka tidak mampu menyara anak yang bakal
lahir itu lantaran kesempitan hidup yang dialami.
Tanpa polisi kawalan kehamilan yang efektif, Filipina merupakan
negara ke-12 yang memiliki populasi penduduk paling ramai di dunia.
Dijangkakan populasi penduduk negara itu akan berkembang melebihi 140
juta menjelang 2040. - Reuters
Labels:
Ikat Peranakan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.