Oleh Dr. Suraya Arshad A.M.Z. Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi Hospital Pakar Kuantan
SATU hakikat bahawa setiap daripada kita perlu fahami ialah
kegemukan bukan lagi melambangkan kesihatan yang cemerlang. Tetapi ia
lebih merupakan satu penyakit yang boleh menimbulkan berbagai-bagai
komplikasi. Kegemukan tidak mengenal warna kulit, umur, jantina, tahap
sosioekonomi dan kedudukan geografi.
Kegemukan atau obesiti merupakan satu penyakit kronik yang boleh terjadi akibat pelbagai sebab.
Seterusnya, ia boleh menimbulkan berbagai-bagai komplikasi seperti
penyakit yang berkaitan dengan jantung, kencing manis, penyakit usus,
penyakit kulit dan banyak lagi. Kegemukan terjadi disebabkan berlebihan
lemak di dalam badan.
Ia boleh didefinisikan apabila Indeks Tubuh Keseluruhan (Body Mass
Index - BMI) melebihi 30. BMI boleh dikira menggunakan berat badan (kg)
dibahagi dengan ganda dua ketinggian (meter). Cuba anda kira dan lihat
sama ada anda termasuk dalam kategori ini atau sebaliknya.
Wanita gemuk atau obes juga tidak lari daripada masalah dan komplikasi yang mungkin timbul apabila mereka hamil.
Harus diingat, bahawa semasa hamil ia merupakan satu-satunya masa akan berlaku pertambahan berat badan.
Bagaimanapun, apa yang sering diutarakan ialah sebanyak mana pertambahan berat badan yang boleh dianggap normal?
Jika wanita tersebut sudah berada dalam kategori obes semasa hamil
adakah selamat untuk individu terbabit mengurangkan berat badan?
Jika pertambahan berat badan terlalu tinggi apakah masalah atau komplikasi yang mungkin timbul?
Secara kasar pertambahan keseluruhan berat bagi seorang ibu yang
mempunyai berat badan ideal atau normal semasa hamil, dijangka lebih
kurang 28 paun atau 12 hingga 13kg.
Pertambahan sebanyak 20 peratus daripada berat badan yang ideal.
Pertambahan berat ini dikira berdasarkan anggaran berat bayi, uri, air
ketuban dan rahim yang membesar.
Selain itu, ia juga merangkumi pembesaran buah dada, pertambahan cecair badan, darah serta lemak semasa hamil.
Bagaimanapun, pertambahan berat badan ibu semasa hamil juga dipengaruhi oleh beberapa faktor lain seperti:
* Berat badan ibu sebelum hamil
* Faktor genetik
* Penurunan aktiviti fizikal semasa
hamil
* Penggunaan kalori semasa hamil.
Menurut kajian Bracero and Colleagues dari Institute of Medicine,
Amerika Syarikat (AS) 1998, pertambahan berat badan sebanyak 36 hingga
40 paun bagi wanita yang mempunyai kurang berat badan.
Manakala, 31 hingga 40 paun bagi wanita yang mempunyai berat badan
normal, boleh memberi kesan kesihatan optimum bagi kedua-dua ibu dan
janin.
Di samping itu, wanita yang tidak menunjukkan pertambahan berat
badan yang dijangkakan ataupun penurunan berat badan semasa hamil tidak
menjejaskan kandungan mereka.
Bagaimanapun tiada data mencukupi boleh diberikan tentang anggaran
pertambahan berat yang disyorkan bagi wanita obes semasa hamil dan juga
tahap keselamatan menguruskan badan semasa hamil.
Ada yang mengesyorkan pertambahan berat badan bagi wanita obes semasa hamil ialah sebanyak 15 hingga 25 paun.
Andaian
Kita pernah mendengar istilah, seseorang ibu yang hamil harus makan untuk dua orang.
Bolehkah istilah ini diterima lagi? Sebenarnya istilah ini cuma satu andaian yang ditokok tambah sahaja.
Secara kasar, seorang ibu yang mempunyai berat badan normal mengandung memerlukan pertambahan 350 kalori sehari semasa hamil.
Tetapi memandangkan kebanyakan ibu hamil biasanya tidak seaktif seperti sebelumnya, sebanyak 150 kalori dapat dijimatkan.
Sehubungan itu, secara purata kebanyakan ibu hamil memerlukan lebih kurang 200 kalori sehari.
Ini boleh dilakukan dengan pengambilan makanan yang sihat dan
seimbang yang mempunyai sumber protein, kalsium dan serat yang tinggi
serta vitamin, mineral, karbohidrat dan lemak.
Oleh yang demikian bagi ibu yang sudah berada dalam kategori obes semasa hamil, harus mendapatkan nasihat pakar.
Satu lagi kajian telah dibuat di St. Mary Hospital London yang
melibatkan 287,213 wanita hamil, yang dikategorikan sebagai wanita
dalam lingkungan berat badan normal, BMI: 20-24.9, berat badan
berlebihan, BMI: 25-29.9 dan obes BMI: 30 dan ke atas. Kajian ini
mendapati bahawa wanita dalam lingkungan berat badan berlebihan dan
obes, mempunyai risiko serta komplikasi yang lebih tinggi berbanding
wanita yang mempunyai berat badan normal.
Komplikasi
*Penyakit kencing manis semasa mengandung - gestational diabetes
* Penyakit darah tinggi semasa mengandung preeklampsia
* Kadar induksi semasa proses kelahiran lebih tinggi
* Kadar kelahiran secara pembedahan Caesarean lebih tinggi dan komplikasi pembedahan seperti pendarahan juga tinggi
Komplikasi bius seperti masalah intubasi lebih sering berlaku.
Komplikasi thrombo-embolism (pembekuan darah) selepas pembedahan
tinggi. Komplikasi ini merupakan salah satu penyebab utama kematian ibu
di kalangan wanita kulit putih. Untuk mengelakkan komplikasi tersebut,
semua wanita obes yang telah melalui pembedahan Caesarean akan menerima
suntikan prophylactic anti- thrombolitic secara rutin.
* Mereka juga terdedah dengan masalah tumpah darah selepas bersalin (Post Partum Haemorrhage)
* Masalah jangkitan pada saluran kemaluan seperti faraj adalah tinggi
* Jangkitan saluran kencing sering terjadi.
Disebabkan lapisan lemak yang agak tebal pada kulit, jangkitan luka
Caesarean lebih tinggi. Didapati kematian janin dalam kandungan
terutamanya di peringkat lewat mengandung adalah tinggi.
Di Amerika pula kajian menunjukkan wanita gemuk mempunyai kadar
risiko bayi yang cacat kongenital (sejak dilahirkan), terutama cacat
jantung dan tiub saraf lebih tinggi berbanding dengan wanita yang
mempunyai berat badan normal.
Bagaimanapun, kaitan dan mekanisme biologi antara kegemukan dan kecacatan (birth defect) masih tidak diketahui.
Tetapi ramai berpendapat ia berkait rapat dengan pemakanan yang
tidak sihat dan mungkin juga masalah kencing manis yang timbul semasa
hamil.
Ini kerana kencing manis yang tidak terkawal semasa mengandung terbukti boleh menyebabkan kecacatan kongenital pada kandungan.
Walaupun banyak risiko dan masalah yang mungkin dihadapi oleh wanita
bertubuh gemuk semasa mengandung, kajian mendapati wanita yang berat
jarang mempunyai masalah kelahiran pramatang berbanding dengan wanita
yang kurang berat badan.
Kesimpulannya ialah gemuk atau obes lebih banyak mendatangkan kemudaratan sama ada seseorang itu mengandung mahupun tidak.
Oleh itu ada baiknya setiap wanita menjaga diri dan menjaga berat
badan sebelum membuat persediaan untuk mengandung. Bagi yang sudah
berada dalam kategori obes, masih tidak terlambat menguruskan badan
dengan menggunakan cara yang sihat dan dapatkan nasihat pakar jika anda
menghadapi masalah. Bagaimanapun jika anda telah hamil, anda
dinasihatkan berjumpa pakar obstetrik untuk pengawasan antenatal yang
lebih teliti serta menilai masalah serta risiko yang mungkin dihadapi.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.