Pages

Sunday, November 21, 2010

ROP jejas bayi pramatang

Retinopati Pramatang (ROP) boleh terjadi pada bayi yang lahir tidak cukup bulan dengan berat badan kurang daripada 1,500 gram. Upaya penglihatan bayi perlu diselamatkan sebelum keadaan bertambah buruk.



ANCAMAN ROP perlu diberi perhatian demi mengelakkan risiko terhadap upaya penglihatan bayi pramatang.



IBU muda, Azizah Kamal (bukan nama sebenar) yang melahirkan anak pramatang seminggu lalu semakin resah walaupun dikhabarkan doktor bayinya itu sihat. 

Resah Azizah semakin menjadi apabila rawatan susulan yang dijalankan oleh seorang doktor mata pada bayinya itu mendapati ada yang tidak kena dengan deria penglihatan anak keduanya itu. 

"Memang ramai yang tidak menyedari bayi pramatang berisiko tinggi menghadapi masalah penglihatan disebabkan beberapa faktor," ujar pakar mata kanak-kanak Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr. Rozita Ahmad. 

Menurutnya, kebarangkalian bayi pramatang mengalami Retinopati Pramatang (ROP) sering terlepas pandang daripada pengetahuan ibu bapa. 

ROP adalah keadaan normal yang terjadi pada bayi pramatang terutamanya berat badan kurang daripada 1,500 gram dan ia mengganggu perkembangan saluran darah pada retina dalam mata yang akhirnya menjadikan mangsanya buta sekiranya tidak mendapat rawatan awal. 

Secara asasnya, retina mata yang terletak di dalam bulatan tengah mata dibahagikan kepada tiga zon utama dan di sinilah berkumpulnya saraf darah bagi membekal oksigen kepada bahagian lain mata. 

Antara tanda awal yang boleh dikesan ialah kewujudan garisan jelas di antara retina vaskular dan avaskular yang disebabkan beberapa faktor. 

"Kebanyakan bayi pramatang menerima terapi oksigen. Proses ini kadangkala menekan bahagian dalam mata bayi," jelasnya. 

Seterusnya, keadaan menekan daripada oksigen tersebut menghasilkan toksin yang akhirnya menyebabkan saluran darah ke anak mata menjadi abnormal.
DR. ROZITA AHMAD


"Abnormal di sini bermaksud tiada saluran darah yang sampai ke bahagian hadapan mata dan 'kekosongan' ini dipenuhi toksik oksigen," ujarnya.

Tambahnya lagi, ROP ini sebenarnya terbahagi kepada beberapa peringkat dan risikonya bergantung kepada keadaan yang berlaku pada zon-zon tertentu di dalam mata. 

Bukan sekadar itu, dalam keadaan tertentu, ROP akan menjadi lebih teruk sekiranya saluran darah di belakang retina kembang atau berbelit-belit. 

Memandangkan tiada simptom khusus bagi ROP, cara paling mudah ialah menjalani pemeriksaan berkala bagi setiap bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan. 

"Dengan penggunaan alatan khas, pemeriksaan akan dilakukan pada minggu keempat hingga enam bulan kelahiran, terutama bayi yang beratnya kurang daripada 1,500 gram," katanya. 

Rozita turut menjelaskan ROP peringkat pertama adalah situasi yang paling berisiko dan rawatan krioterapi diperlukan. 

"Dengan rawatan ini, bahagian bermasalah akan 'dibekukan' agar bahagian bertoksik dipulihkan dan salur darah itu dapat berkembang semula dengan sempurna," jelasnya.



SALUR darah abnormal terbentuk dan merebak ke bahagian retina, iaitu tisu yang membahagikan bahagian belakang mata. Ia juga mudah pecah atau bocor.



Di samping itu, rawatan terapi laser juga digunakan. Kaedah ini lebih praktikal termasuk mampu mengurangkan ketidakselesaan yang dihadapi oleh bayi selepas rawatan. 

Dalam pada itu, beberapa komplikasi bakal timbul pada bayi apabila mereka meningkat dewasa walaupun ROP yang dihadapinya hanya di peringkat 1. 

"Rabun, juling, arnblyopia dan tekanan dalam mata (glaukoma) adalah keadaan biasa terjadi bagi pesakit ini," ujar Rozita. 

Malah pesakit ROP perlu menjalani pemeriksaan susulan apabila mencecah usia lima atau enam tahun bagi memastikan keadaan saraf darah dalam mata berkembang dengan sempurna. 

"Malah ada antara mereka yang perlu mendapatkan rawatan sepanjang hayat bagi memastikan penglihatan mereka berada pada tahap yang terbaik," katanya.

--- KOSMO

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.