Soalan
KANDUNGAN saya masuk 21 minggu dan saya dijangka bersalin pada Mac atau April depan.
Ketika imbasan, kepala bayi berada di atas (songsang). Ia dibetulkan bidan, tetapi kandungan kembali songsang. Apakah pendapat dan nasihat doktor?
INSAN BIMBANG,
Kuala Lumpur.
Kuala Lumpur.
Jawapan
PADA usia 21 minggu (lima bulan) kehamilan, kira-kira 50 peratus wanita mengalami kedudukan janin menyongsang.
Sewaktu kandungan memasuki 28 minggu pula, peratusan ini berkurangan menjadi sekitar 30 peratus. Ini adalah perkara biasa.
Kebanyakannya tidak mempunyai masalah, malah hampir semua bertukar kepada kedudukan normal (kepala di bawah) menjelang bulan kelapan sehingga bayi dilahirkan.
Bagi sebahagian kecil wanita, kedudukan janin menyongsang disebabkan keabnormalan janin itu sendiri atau kelainan pada keadaan atau ruang dalaman rahim seperti rahim bertanduk (bikornuat) dan seumpamanya.
Keadaan kelainan rahim mungkin dapat dikesan pada awal kehamilan atau sebelumnya. Bagi sifat fizikal janin pada usia kandungan anda kini juga, kebanyakan doktor akan melakukan imbasan menyeluruh ke atas struktur anggota luar dan dalaman janin sama ada normal atau tidak.
Ultrabunyi ini juga lazimnya dilengkapi dengan teknik Doppler dan imej tiga dimensi dengan paparan atau rakaman video (empat D). Songsang juga boleh disebabkan saiz bayi, kedudukan uri, kembar, kandungan air ketuban yang berkurangan atau berlebihan dan seumpamanya.
Saya tidak menggalakkan urutan dilakukan kerana tekanan ke dalam rahim boleh menyebabkan uri tertanggal sebahagiannya atau keseluruhannya, lebih-lebih lagi jika uri berada betul-betul di hadapan (tempat tangan urutan diletakkan).
Urutan membetulkan kedudukan janin menyongsang juga ada dilakukan dalam perubatan moden sekitar usia kandungan memasuki sembilan bulan, ia dinamakan external cephalic version (ECV), tetapi ia dilakukan di hospital dengan kelengkapan atau keadaan bersedia untuk melakukan pembedahan kecemasan Caesarean jika berlaku komplikasi.
Sekiranya ia gagal bertukar kedudukan atau bertukar semula kepada songsang, pembedahan Caesarean adalah pilihan lebih baik untuk mengurangkan risiko bahaya kepada janin dan ibu.
Penyebab kedudukan songsang (jika ada) dapat diketahui daripada doktor yang melakukan pembedahan (mengenai keadaan rahim dan uri anda) serta doktor kanak-kanak yang memeriksa bayi anda. Pun begitu, dalam kebanyakan kes bagi ibu sulung, ia tiada penyebab.
--- HARIAN METRO
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.