BERAT badan berlebihan atau obesiti merupakan masalah paling merungsingkan golongan wanita. Kegemukan bukan sahaja menjejaskan kesihatan, malah ia juga menyebabkan seorang wanita itu hilang keyakinan diri.
Bagi wanita obes yang merancang untuk hamil pula, golongan ini cenderung untuk menghadapi beberapa risiko ketika hamil dan juga selepas bersalin.
Antara risiko itu termasuklah keguguran malah boleh membahayakan nyawa ibu dan komplikasi lain.
Malah, kajian yang dijalankan oleh Universiti Michigan di Amerika Syarikat mendapati wanita yang mengalami berat badan berlebihan mempunyai peluang hamil kira-kira 28 peratus berbanding wanita yang mempunyai berat badan normal.
Dalam pada itu, menurut Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Damai Service Hospital, Dr. Mahes Sittampalam, statistik itu turut merangkumi wanita obes yang mengandung secara normal serta yang mengandung melalui bantuan rawatan kesuburan.
Tambah Mahes lagi, akibat ketidakseimbangan hormon bagi wanita obes yang hamil, mereka juga cenderung untuk mengalami keguguran.
"Kadar morbiditi pada bayi dalam kandungan serta ibu mengandung juga meningkat akibat penyakit seperti tekanan darah tinggi yang cenderung berlaku pada wanita obes," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Selain itu, penyakit diabetis sewaktu hamil juga merupakan kejadian yang biasa berlaku kepada wanita obes. Penyakit itu akan meningkatkan lagi risiko kecacatan bayi dalam kandungan.
Lebih menyedihkan lagi, kajian juga mendapati 30 hingga 40 peratus bayi yang dilahirkan itu mempunyai penyakit yang melibatkan masalah organ seperti otak, jantung dan sistem penghadaman.
Terang Mahes, wanita obes turut berisiko mendapat komplikasi sewaktu pembedahan bersalin. Antaranya termasuklah risiko jangkitan kuman pada luka pembedahan dan pengumpalan darah.
"Untuk tempoh jangka panjang pula, bayi yang dilahirkan wanita obes mempunyai dua kali ganda risiko berdepan masalah berat badan berlebihan dan menghidap penyakit diabetes," ujarnya.
Rancang kehamilan
Mengenai kehamilan bagi wanita obes, Mahes menjelaskan, beberapa langkah boleh diambil untuk memastikan mereka berdepan dengan risiko yang lebih rendah.
Mahes menyarankan wanita obes supaya menurunkan berat badan terlebih dahulu.
Langkah itu perlu bagi mengelakkan komplikasi kepada ibu dan bayi dalam kandungan, malah ia membantu mengelakkan risiko semasa bersalin.
"Apabila anda bersedia untuk hamil, anda perlu terlebih dahulu merancang pemakanan yang seimbang.
"Anda perlu mengambil makanan yang banyak mengandungi kekacang, sayuran, buah-buahan, makanan berprotein tinggi dan makanan yang rendah lemak.
"Anda juga boleh mengamalkan latihan senaman seperti berjoging, berenang atau kelas senaman untuk wanita hamil," ujarnya.
Bagaimanapun, Mahes menegaskan, apabila wanita mula melakukan senaman mereka dinasihatkan mengambil air masak dalam kuantiti yang banyak untuk mengelak dehidrasi.
Pemeriksaan selepas hamil
Sementara itu, bagi wanita yang sudah hamil pula, pemeriksaan antenal yang kerap adalah penting untuk memantau perkembangan bayi dan ibu.
"Pemeriksaan itu juga adalah langkah awal untuk mengesan masalah kesihatan lain pada bayi dalam kandungan," ujar Mahes.
Pada peringkat kehamilan juga, wanita obes yang ingin melakukan senaman atau aktiviti fizikal wajar mendapat nasihat doktor tentang bentuk senaman yang sesuai pada fasa itu.
Ada ketikanya, apabila anda sudah mengandung aktiviti berjoging sudah tidak lagi digalakkan kerana ia meningkat risiko kecederaan. Mungkin doktor boleh mencadangkan aktiviti rendah risiko seperti menggunakan peralatan seperti basikal atau crossramp.
Langkah itu penting supaya wanita obes yang sudah mengandung mencapai kehamilan yang sihat dengan mengekalkan tahap normal gula serta tekanan darah.
|
|
Berikut adalah langkah-langkah yang boleh diambil oleh ibu hamil bagi memastikan pertambahan berat badan sepanjang tempoh kehamilan tidak keterlaluan dan berbahaya.
1. Mengikuti sesi kaunseling nutrisi. Ini penting kerana amalan pemakanan yang betul dapat menyelamatkan ibu hamil daripada berhadapan dengan masalah berat badan berlebihan.
2. Melakukan ujian lebih awal untuk diabetes dan berunding dengan pakar anestesiologis mengenai pemberian sedatif yang selamat sebelum tarikh kelahiran anak. Ini penting sekiranya wanita hamil memerlukan pembedahan caesarean.
3. Jika seseorang wanita berhasrat meningkatkan tahap kesihatan sendiri, waktu hamil adalah waktu yang paling sesuai.
Ini dijelaskan oleh Dr. Laura Riley dari Hospital Awam Massachusetts yang menulis buku mengenai garis panduan ibu hamil terbitan Kolej Obstetrik dan Ginekologi, Amerika Syarikat.
Apabila ibu hamil, dia bukan sahaja merancang pemakanannya, bahkan ia mungkin titik awal untuk dia berhenti merokok demi kesihatan bayinya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.