KESAN kecacatan otak dan saraf tunjang. |
Oleh NAJIBAH HASSAN
ANTARA persoalan yang sering timbul di kalangan penghidap epilepsi wanita yang telah berkahwin ialah adakah mereka boleh melahirkan anak yang sihat seperti wanita normal lain?
Sejauh manakah masalah kesihatan yang mereka hidapi boleh menjejaskan kandungan dan juga kesihatan diri mereka sendiri sepanjang tempoh kehamilan?
Secara amnya, kadar peluang penghidap epilepsi yang mengambil ubat epilepsi untuk melahirkan bayi normal dan sihat adalah lebih daripada 90 peratus.
Pun begitu, hanya mereka yang mempunyai penyakit yang benar-benar terkawal sahaja dinasihatkan boleh hamil.
Ketua Jabatan Perubatan dan Pakar Perunding Kanan Neurologi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Prof. Dr. Raymond Azman Ali berkata, penghidap epilepsi tidak digalakkan hamil sehinggalah epilepsi yang mereka hidapi itu benar-benar terkawal atau ubat yang diambil dihentikan.
Ini kerana penghidap epilepsi yang hamil berisiko tinggi menghadapi banyak komplikasi jika dibandingkan dengan wanita normal.
``Selain kadar keguguran dan kecacatan yang tinggi pada bayi, ia juga boleh mengancam nyawa ibu,'' katanya.
Sehubungan itu, pesakit epilepsi yang masih bergantung pada ubat-ubatan epilepsi tidak digalakkan hamil tanpa perancangan.
``Kehamilan itu sendiri boleh menyebabkan epilepsi menjadi lebih teruk atau epilepsi tersebut boleh menimbulkan masalah pada kehamilan tersebut,'' kata Dr. Raymond.
Epilepsi yang juga dikenali sebagai sawan merupakan satu cetusan elektrik di otak yang menyebabkan individu terbabit hilang sedar dan mengalami kekejangan otot.
Ia juga boleh menyebabkan individu terbabit mengalami kelainan deria rasa, tingkah laku atau emosi.
Di Malaysia, dianggarkan antara 0.5 hingga satu peratus daripada penduduk menghidap epilepsi.
Pelbagai faktor dikaitkan dengan punca epilepsi. Antaranya termasuk faktor keturunan, ketumbuhan, jangkitan kuman dalam otak, strok dan sebagainya.
Dr. Raymond menjelaskan, secara amnya kecenderungan pesakit epilepsi untuk tidak berkahwin atau kurang mempunyai anak adalah empat kali ganda lebih tinggi berbanding mereka yang normal.
Malah, kadar kehamilan di kalangan wanita yang menghidap epilepsi sememangnya agak rendah berbanding wanita normal.
``Selain masalah kegemukan, pusingan haid penghidap epilepsi yang tidak menentu menyebabkan mereka juga tidak menghasilkan telur (ovulasi). Keadaan ini mengakibatkan mereka kurang subur,'' katanya.
Dianggarkan lebih 12.5 peratus penghidap epilepsi wanita akan mengalami kekerapan serangan epilepsi semasa haid.
``Perubahan hormon estrogen boleh merangsang epilepsi, manakala hormon progesteron dapat mengurangkan serangan epilepsi,'' katanya.
Tambah beliau, tahap kesuburan di kalangan pesakit epilepsi lelaki menurun sebanyak 20 peratus, manakala 15 peratus di kalangan penghidap wanita.
Pada masa yang sama, tanggapan sebahagian besar penghidap epilepsi bahawa kemungkinan mereka mendapat anak cacat juga menyebabkan mereka kurang melakukan hubungan seks.
Tiga faktor utama yang merendahkan tahap kesuburan pesakit epilepsi ialah:
- Mereka yang makan lebih dua jenis ubat epilepsi
- Epilepsi jenis partial
- Mereka yang telah berusia.
Kesan kehamilan pada epilepsi
Dianggarkan satu pertiga daripada pesakit epilepsi akan mengalami kadar kekerapan serangan sawan yang tinggi kerana:
a) pesakit berhenti daripada makan ubat epilepsi
b) keberkesanan ubat yang dimakan menurun. Apabila metabolisme tinggi, buah pinggang dan hati akan memproses lebih cepat
c) pesakit banyak muntah
d) kurang tidur.
Risiko serangan epilepsi semakin tinggi apabila seseorang wanita semakin hampir untuk bersalin. Malah, sesetengah wanita akan mendapat serangan penyakit itu semasa proses kelahiran.
Bagaimanapun, kajian menunjukkan 17 peratus serangan epilepsi menurun semasa hamil.
Menurut Dr. Raymond, kadar kegagalan pil kontraseptif di kalangan pesakit epilepsi adalah empat kali ganda lebih tinggi berbanding individu normal.
Selain faktor pil tersebut, kekurangan estrogen dan ubat epilepsi yang meningkatkan kadar metabolisme telah meningkatkan kadar pembuangan dari tubuh sekali gus mengurangkan kesan pil kontraseptif.
Kesan epilepsi pada kehamilan
Kadar penyakit hipertensi, preeklampsia dan eklampsia lebih tinggi di kalangan pesakit epilepsi berbanding dengan wanita normal. Ciri-ciri penyakit preeklampsia termasuk hipertensi, kebengkakan di seluruh badan dan kadar kandungan protein dalam air kencing yang tinggi. Jika tidak dirawat preeklampsia boleh melarat ke tahap eklampsia.
Eklampsia akan mencetuskan serangan epilepsi menyebabkan pesakit kelihatan seperti kekeliruan. Keadaan ini meningkatkan risiko kematian pada janin dan ibu menjadi tiga kali ganda terutama pada minggu-minggu terakhir kehamilan.
Antara kesan lain ialah:
- Bayi dilahirkan tidak cukup bulan
- Keguguran pada pertengahan trimester (12 minggu kehamilan)
- Kadar kematian bayi baru lahir (prenatal mortality) yang tinggi. Bayi meninggal dunia beberapa hari selepas dilahirkan.
Kesan epilepsi pada janin
Epilepsi boleh membawa kesan-kesan berikut kepada bayi dalam kandungan:
- Bayi mati sejurus selepas kelahiran (stillbirth)
- Keguguran sebelum minggu ke-28
- Bayi kecil
- Kecacatan pada bayi
- Bayi kepala kecil
- Bayi perlu dimasukkan ke dalam inkubator kerana masalah kesihatan.
Dianggarkan kadar kecacatan bayi ibu penghidap epilepsi ialah antara 9 hingga 10 peratus. Hanya lima peratus bayi yang dilahirkan mengalami kecacatan serius.
Kecacatan ini disebabkan oleh faktor-faktor seperti:
- Pengambilan asid folik yang kurang
- Ubat-ubatan semasa hamil
- Ibu-ibu yang mengambil dua jenis atau lebih ubat epilepsi
- Dos ubat epilepsi yang tinggi. Sekiranya mereka mengambil empat jenis ubat, dianggarkan 20 peratus risiko kecacatan akan dialami bayi.
Antara jenis-jenis kecacatan yang biasa berlaku di kalangan bayi ialah:
- Jantung berlubang
- Injap jantung sempit
- Kelainan usus di mana antara saluran pemakanan dan perut tidak terbuka
- Kelainan pada wajah sepertip pembentukan hidung yang tidak sempurna, kedudukan mata lebih jauh daripada biasa, sumbing pada bibir dan lelangit (cleft lip and palate) dan pembentukan jari yang kurang atau terlebih
- Kecacatan otak dan saraf tunjang. Kecacatan ini berlaku tiga kali ganda lebih tinggi sekiranya ibu mengambil ubat epilepsi semasa hamil
- Spina bifida. Kecacatan perkembangan seorang bayi yang baru lahir dan sebahagian daripada saraf tunjang dengan gejala lumpuh kaki, inkontinens, kerencatan otak dan hidrosefalus.
Pesakit epilepsi dinasihatkan supaya tidak hamil sehingga epilepsi mereka terkawal dan ubat-ubatan yang diambil dikurangkan atau dihentikan oleh doktor.
Jika belum hamil, pesakit akan dinasihatkan supaya menukar ubat kepada jenis yang lebih selamat.
Jika sedang hamil, epilepsi terkawal dan serangan epilepsi tidak begitu kerap, doktor tidak akan menukar atau menghentikan ubat yang diambil.
Ini kerana jika pengambilan dihentikan, ia boleh membahayakan nyawa ibu dan janin dalam kandungan.
Bagaimanapun, jika pengambilan ubat diteruskan risikonya adalah rendah.
Sehubungan itu, doktor akan mengusahakan untuk memberi kepada pesakit sejenis ubat yang paling rendah kekuatannya bagi mengawal epilepsi.
Langkah terbaik ialah doktor akan memberi asid folik kepada wanita yang berpotensi hamil sama ada mereka penghidap epilepsi atau sebaliknya.
Kajian menunjukkan asid folik dapat menurunkan kadar kecacatan saraf tunjang di kalangan bayi. Lebih awal amalan pengambilan asid folik ini lebih rendah risiko kecacatan janin.
Bagaimanapun, pada minggu-minggu terakhir kehamilan, doktor akan memberi vitamin K bagi mengurangkan pendarahan pada bayi.
Langkah selepas kelahiran
Setelah bersalin sehingga minggu keenam selepas kelahiran, doktor akan memberi vitamin K kepada bayi melalui suntikan.
Dos dan jenis ubat-ubatan epilepsi yang dimakan akan dikaji oleh doktor supaya sawan terkawal.
Pada masa yang sama, pesakit dinasihatkan terus makan ubat.
Sokongan keluarga dalam penjagaan bayi adalah penting selepas ibu bersalin. Ibu boleh menyusukan anak seperti biasa walaupun mereka mengambil ubat epilepsi.
Panduan untuk pesakit
- Pesakit dinasihatkan supaya merancang kehamilan seperti mengamalkan kontraseptif
- Mengamalkan pengambilan asid folik atau makan sayur-sayuran hijau
- Mengawal epilepsi bagi mengelakkan mereka mendapat serangan sawan
- Kaunseling kepada ibu berhubung kesan ubat pada bayi dan ibu.